0

Penulis memandang serius dengan kenyataan 'Doktor' Datuk Mahfuz Omar yang bimbang tahap kesihatan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kononnya akan 'berjangkit' kepada seluruh rakyat Kedah.

Kata 'Doktor' Mahfuz, jika Ahmad Bashah yang menghadapi masalah kesihatan dibiarkan terus menjadi Menteri Besar, dia khuatir sekiranya pentadbiran negeri Kedah turut terjejas dan sekaligus mengheret rakyat 'masuk ke ICU'.

Kenyataan 'doktor' dari Pokok Sena itu membuatkan penulis terbayang wajah mantan Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Azizan Razak, satu-satunya pemimpin PAS yang berjaya menempatkan diri dalam sejarah negeri itu untuk menjadi Menteri Besar.

Umumnya sebelum menjadi Menteri Besar, semuanya maklum tentang kesihatan arwah Ustaz Azizan yang kurang baik. Beliau sering berulang-alik ke hospital untuk setiap minggu untuk mendapatkan rawatan.

Salah seorang Exco Kerajaan PAS Negeri Kedah ketika itu pernah cuba menjatuhkan arwah dengan menyifatkan beliau sebagai 'berjalan 3 silinder', menandakan tahap kesihatan yang amat genting dan tidak sesuai lagi menjadi Menteri Besar.

Namun dalam kepayahan dan serangan bertali arus dari dalaman PAS Kedah ketika itu, arwah Ustaz Azizan bersama segelintir Adun PAS dan sebilangan Adun UMNO, termasuk Ahmad Bashah, berjaya juga mentadbir Kedah dari 'dijahanamkan' beberapa Exco yang dikatakan cuba 'tikam belakang' arwah.

Ketika arwah Ustaz Azizan uzur dan dimasukkan ke wad hospital serta menjalani pembedahan, tiada seorang pun pemimpin UMNO atau BN yang menyerang bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu. Malah mereka sering pula menziarahi Ustaz Azizan di wad.

Tidak cukup dengan itu, pemimpin UMNO termasuk Presiden parti, Dato' Seri Najib Tun Razak pun datang berziarah dan meminta agar pihak hospital memberikan rawatan terbaik kepada Ustaz Azizan.

Faktanya, tiada siapa pun dari kem UMNO mahupun BN yang mengesa supaya arwah meletak jawatan Menteri Besar Kedah. Yang mendesak supaya Ustaz Azizan meletak jawatan adalah dari kem PAS Kedah sendiri.

Pada pandangan penulis, itulah beza akhlak antara pemimpin UMNO terhadap seorang tokoh PAS Kedah yang dihormati, berbanding akhlak Mahfuz dan rakan-rakan rapat selairan dengannya yang majoriti sudah menyertai PAN.

Sekiranya Mahfuz benar-benar faham tarbiyah dan tasykil arwah Ustaz Fadhil Noor dulu, sikapnya akan cenderung seperti arwah Ustaz Azizan. Malangnya, perangai Mahfuz itu lebih cenderung kepada puak 'baju oren'.

Pada hemat penulis, kesihatan merupakan sesuatu yang berharga dan menjadi hak milik Allah SWT. Di dalam kepayahan menghadapi penyakit leukemia, Allahyarham Tun Razak berjaya membangunkan Malaysia di zamannya sehingga diiktiraf sebagai 'bapa pembangunan negara'.

Tindakan Mahfuz yang mempertikai kesihatan seseorang itu merupakan satu tindakan biadap yang mengenepikan kuasa Allah. Seandainya Mahfuz sakit dan terpaksa dibedah nanti, sanggup dia letak jawatan Ahli Parlimen Pokok Sena?

Bukan apa, khabarnya orang Pokok Sena memang sudah menyampah pada Mahfuz dan kalau boleh mereka tidak mahu lagi dia jadi wakil rakyat mereka. Rupanya walaupun sihat, Mahfuz sudah ditolak rakyat di kawasan sendiri? Cuba bayangkan jika Mahfuz sakit... -Amir Hamzah/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top