0

Kemenangan dengan majoriti besar calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan pengundi Cina sudah mula kembali menyokong parti tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan bahawa kejayaan itu turut disumbangkan oleh susunan gerak kerja teratur jentera BN melibatkan semua parti komponennya.

“Sebagai penyelaras kedua-dua PRK, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pengundi terutama pengundi berketurunan Cina di Sekinchan kerana memberi kepercayaan kepada BN, begitu juga di Kuala Kangsar.

“Terima kasih juga kepada komponen-komponen parti dari peringkat nasional, pusat daerah mengundi (PDM) dan akar umbi yang bekerja keras, bertungkus-lumus membantu kemenangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Kangsar yang dimenangi oleh calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyifatkan Mastura sebagai produk politik yang baik bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di Kuala Kangsar.

Katanya, politik pembangunan itu hanya boleh direalisasi oleh wakil rakyat UMNO dan BN.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pula menyifatkan kemenangan dalam PRK kali ini sebagai satu eksperimen yang baik dalam memperlihat kesatuan BN.

Beliau juga menghargai kepercayaan pengundi yang disifatkan beliau telah membuat keputusan matang dengan memilih Mastura sebagai wakil rakyat mereka.

“Walaupun kita berdepan cabaran besar, tetapi berkat kesatuan yang ditonjolkan, telah menghasilkan sesuatu yang membanggakan.

“Calon yang dikemukakan BN luar daripada kebiasaan kerana terbatas dengan peraturan agama, tetapi berkat kesatuan pasukan BN memberikan natijah yang besar kepada parti,” jelas beliau.

Post a Comment

 
Top