0

Semalam saya berbual melalui telefon dengan seorang rakan dari Langkawi, saudara Saifol Adli Azizan. Sementara menanti waktu berbuka puasa, perbualan kami terarah kepada sikap ramai Muslim terutama dalam media sosial yang pantas menghukum tanpa menyelidiki atau berdiskusi secara ilmiah.

Sikap begini telah menenggelamkan sifat Islam sebagai Rahmat Sekalian Alam, sebaliknya menonjolkan seolah-olah ia adalah satu fraksi yang hanya menghukum semata-mata. Kenyataan Mufti Pahang yang menyatakan parti DAP adalah Kafir Harbi mengesahkan intipati perbualan kami itu.

Lalu, saya tertanya-tanya apa bezanya kenyataan Mufti Pahang dengan anggota IS, Rafi Udin? Kedua-duanya kenyataan ekstremis yang boleh mengundang implikasi pertumpahan darah. Kenyataan mufti lebih berbahaya kerana pada pandangan orang ramai, kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang mufti adalah satu fatwa.

Manakala Utusan Malaysia pula adalah penyebar semangat ekstremisme apabila melaporkan kenyataan tersebut. Sebagai seorang Muslim yang menganggotai parti DAP, saya amat kecewa dan membantah keras kenyataan tersebut yang hanya bersandarkan kepada emosi dan sentimen.

Sebagai seorang ilmuwan Islam, seharusnya seorang Mufti mengeluarkan pandangan ilmiah tanpa niat tersembunyi untuk menimbulkan kacau ganggu dalam hubungan antara etnik terutamanya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Kenyataan yang keluar dari lidah seorang Mufti sepatutnya bersandarkan kepada fakta dan ilmu yang tepat.

Mufti Pahang ini boleh sahaja memanggil kepimpinan DAP terlebih dahulu bagi mendengar penjelasan dan berdiskusi ilmiah sebelum mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab sebegini.

Meletakkan hukum bahawa DAP adalah kafir harbi memang membawa implikasi besar kerana hukum kafir harbi ini bukanlah hukuman yang kecil, ia hukuman yang berat kerana kafir harbi ini sampai ke tahap dia boleh dibunuh. Jadi, adakah Mufti Pahang ini sedang menghantar isyarat kepada orang Muslim lain untuk memerangi orang Bukan Islam?

Inilah akibat apabila politik tanah air ini sering terheret kepada soal sentimen dan emosi. Hilang sudah kewarasan fikiran dan akhirnya lidah-lidah ilmuwan turut terheret mengeluarkan perkataan adu domba dan mencipta api permusuhan.

Kenyataan tersebut juga hanya menyerlahkan betapa pelbagai institusi dalam negara ini sedang ditunggang semahunya oleh mereka yang rakus dan tamak kuasa. Tak perlulah ilmuwan agama dalam negara ini terikut-ikut dengan ideologi IS yang suka untuk mencipta permusuhan dan ketegangan antara etnik dalam negara ini.

Saya juga ingin mengajak rakan-rakan Muslim saya untuk menginsafi kehadiran Ramadhan kali ini dengan menolak semua agenda ekstremis melampau. Sebaliknya, ayuh kita bersama-sama menunjukkan akhlak dan keindahan Islam yang syumul, berilmu dan bersederhana dalam membina hubungan antara etnik yang muhibbah. – Roketkini.com


*Ahmad Anwar Asyraf merupakan Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Johor

Post a Comment

 
Top