0

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dakwaan penggunaan pengawal keselamatan warga asing haram dan akan mengambil tindakan tegas secara berterusan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Agensi Persendirian 1971, Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pendaftaran Negara 1959.

"KDN hanya membenarkan pengawal keselamatan warganegara Malaysia dan pengawal keselamatan warganegara Nepal yang bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan berlesen dengan KDN untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini," katanya.

Kenyataan Alwi dikeluarkan bagi mengulas laporan Bernama Jumaat lalu, memetik Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali ada sekurang-kurangnya 30,000 pengawal keselamatan haram bekerja secara bebas di negara ini.

Jelas Alwi, KDN mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diselaraskan satu ‘task force’ bermula 1 November 2013 sehingga tempoh akan ditentukan kelak.

Menurutnya, sejak 2013 sehingga Jun 2016, KDN membatalkan lesen 48 syarikat kawalan keselamatan dan 60 syarikat dikenakan tindakan amaran terakhir kerana pelbagai kesalahan, termasuk menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram.

Post a Comment

 
Top