0

Seorang pemilik kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Star hari ini terhadap empat pertuduhan memperdagangkan empat wanita untuk tujuan eksploitasi kerja Jun lalu.

Tertuduh, Lee Kong Yong, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 Jun 2016, kira-kira 3.30 petang bertempat di kedai makan Taste Of Bliss Kitchen di alamat No 4169-4170 Jalan Gading, Jalan Langgar memperdagangkan mangsa Ritha Yuningsih, 21,Surabina Bangun, 22, dan Kamti, 43, bagi maksud eksploitasi kerja atau perkhidmatan rahsia.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 hingga 15 Jun 2016, kira-kira 4 petang di alamat sama memperdagangkan mangsa Dewi Susanti, 44, bagi maksud eksploitasi kerja atau perkhidmatan rahsia.

Bagi kesalahan itu,Kong Yong dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) dan dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun atau denda.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam bela tertuduh G Ravishankar kemudian memohon kepada mahkamah supaya mengurangkan jumlah jaminan.

Zulhazmi bagaimanapun menawarkan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin menjadikan jumlah keseluruhan RM60,000.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 14 Julai ini.

Post a Comment

 
Top