0

Sebagaimana yang kita maklum, konsep perundangan di negara kita mengamalkan prinsip 'tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah'. Bukti yang dikemukakan itu perlulah 'tanpa sebarang keraguan mahkamah', maka barulah seseorang itu boleh dikatakan bersalah.

Merujuk kepada konsep tersebut, maka jelaslah bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kini masih berstatus 'tidak bersalah' dari sudut perundangan. Pendakwaan baru saja bermula, wang ikat jamin baru ditetapkan dan Hakim Mahkamah pun belum memutuskan keputusan kesnya.

Namun begitu, apabila sesuatu kes itu telah dimulakan prosidingnya di mana-mana mahkamah, maka pihak yang mendakwa atau mempertahankan diri dari tuduhan tidak boleh membicarakan soal kes yang dibicarakan di luar mahkamah.

Sekiranya perkara tersebut dilakukan oleh mana-mana pihak terbabit, maka ia boleh dianggap menghina mahkamah dan boleh dikenakan tindakan mengikut perundangan.

Namun di negara ini, sikap dan perlakuan pihak pembangkang berkenaan prinsip perundangan itu sangat pelik. Mereka bebas berbicara mengenai kes mereka sewenang-wenangnya, walaupun kes tersebut sedang dibicarakan.

Selalunya, jika mereka didakwa di mahkamah, maka mereka akan berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak bersalah dan hanya menjadi mangsa 'konspirasi' dari pihak Kerajaan. Kononnya, kerajaan memperalatkan Peguam Negara dan sistem kehakiman untuk menganiaya mereka.

Mereka mendakwa itulah bukti 'kezaliman' pihak kerajaan kepada 'pejuang rakyat' seperti mereka. Kononnya merekalah yang paling telus dan paling bersih di dalam dunia ini manakala parti pemerintah pula 'kotor-kotor' belaka.

Padahal jika difikirkan secara rasional, yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang sehingga membolehkan mereka didakwa di mahkamah adalah diri mereka sendiri dan bukan kerajaan.

Contohnya, Guan Eng dan Miss Phang yang melakukan urus niaga jual beli banglo mewah di Jalan Pinhorn. Dan satu lagi kes, Kerajaan DAP pimpinan Guan Eng yang berkuasa terhadap hak milik tanah di Taman Manggis.

SPRM yang menyiasat kes tersebut secara terperinci selepas wujud aduan berkenaan dua kes itu. Setelah selesai menyiasat, mereka menyerahkan hasil siasatan mereka kepada Peguam Negara untuk diteliti sama ada wujud 'prima facie' untuk didakwa di mahkamah.

Selepas diteliti dan didapati wujud 'prima facie' untuk mendakwa Guan Eng atas dua kesalahan rasuah di mahkamah, maka Peguam Negara akan bertindak sebagai Pendakwaraya. Soalnya, apakah wajar Peguam Negara 'pejamkan mata' jika wujud 'prima facie' dalam hasil siasatan SPRM itu?

Bila sudah mula dibicarakan di mahkamah, sesedap mulut pula DAP mendakwa Guan Eng dianiaya kerajaan? Jadi bagaimana mana dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo? SPRM, Peguam Negara, Kerajaan BN dan Hakim aniaya beliau juga seperti Guan Eng?

Atau DAP dan Guan Eng mahu konsep undang-undang negara kita berubah 'seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah' seperti yang diamalkan di Perancis? Boleh Guan Eng buktikan dirinya tidak bersalah?

Jangan main-main dengan undang-undang negara. Perdana Menteri sendiri pun tidak mampu dan tidak boleh campur tangan dalam bidang kuasa perundangan. Itu amalan kita di negara ini. Lainlah di zaman Mahathir, Ketua Hakim Negara pun dipecatnya! -Amir Hamzah/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top