0

Cubaan Malaysiakini memalit imej pengganas terhadap pendakwah bebas Dr Zakir Naik (DZN) dengan imej pengganas disifatkan sebagai jelek dan tidak berasas.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr MAZA) berkata, Lebih buruk lagi apabila Malaysiakini mengaitkan penceramah tersebut dengan pemimpin negara yang menyambut kehadirannya ke Malaysia sebelum ini.

"Saya pelik mengapakah Malaysiakini begitu memusuhi para pendakwah seperti DZN tanpa alasan yang kukuh. Saya kurang hairan jika HINDRAF ataupun ASWAJA tidak setuju dengan DZN kerana mereka memang demikian cara mereka.

"Saya rasa perasaan terpendam Malaysiakini ialah kebencian dan rasa permusuhan yang mendalam terhadap Islam itu sendiri.

"Jika benar Malaysiakini itu mewakili hati jiwa pihak yang ingin menukar kerajaan sedia ada, saya rela berdiri teguh memastikan kerajaan yang ada terus berkuasa.

"Itu lebih baik daripada suatu keadaan yang lebih buruk yang akan berlaku," katanya menerusi status Facebooknya, hari ini.

Dr MAZA mengeluarkan kenyataan demikian sebagai respon terhadap artikel Malaysiakini bertajuk 'Pengganas dalam serangan Dhaka Ikut Arahan Zakir Naik'.

Laporan tersebut turut menggunakan imej Dr Zakir bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu lawatan penceramah tersebut ke Malaysia sebelum ini.

Laporan Malaysiakini menyebut bahawa Dr Zakir mendapat pujian Najib serta timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sungguhpun kehadirannya mendapat tentangan.

Selain itu, lidah rasmi pembangkang itu juga mengaitkan Dr Zakir dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'berpelukan dengan Zakir dalam apa yang disifatkan sebagai "perjumpaan bersejarah,' tulis media berkenaan.

Dr MAZA berkata lebih baik mengekalkan kerajaan sedia ada dari mengikut ideologi Malaysiakini untuk mengubah kerajaan lain yang akibatnya akan bertukar kepada kebencian yang dibakar atas permusuhan terhadap satu agama, khususnya Islam.

"Saya akan berdri tegap mempertahankan apa yang ada dari mengubah kepada sesuatu yang saya rasa bersedia memusuhi agama tanpa sebab," tulisnya lagi. -MD

Post a Comment

 
Top