0

Lim Guan Eng diminta berundur dari jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai menepati prinsip cekap, telus dan akauntabiliti yang kononnya diamalkan serta dilaungkan oleh parti DAP.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pendiriannya untuk kekal sebagai Ketua Menteri walaupun didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa jelas menunjukkan slogan DAP itu hanyalah sekadar retorik politik.

"Apa yang berlaku ke atas DAP sekarang ini (Lim Guan Eng), seumpama meludah dan terkena muka sendiri.

"Isu ketidaktelusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini hebat diperkatakan sehingga menjadi salah satu intipati dalam berkempen sebenarnya adalah bagi mengaburi mata rakyat terhadap tindakan songsang DAP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya demi sebuah maruah dan menunjukkan bahawa DAP sangat cekap, telus, berintegriti, amanah dan telus, Lim harus berundur dari jawatannya.

"Kelantangan Lim selama ini menerusi slogan CAT (Cekap, Telus, Akauntabiliti) tidak lebih seperti muslihat bagi mengaburi rakyat dan diumpamakan "cakap tidak serupa bikin".

"Ini hanya (permainan) wayang DAP semata-mata," kata Mas Ermieyati.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, setiausaha agung DAP itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin. -- BERNAMA

Post a Comment

 
Top