0

Kecoh satu negara tentang penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang yang 'disayangi', Lim Guan Eng. Difahamkan Guan Eng 'diangkut' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri itu pada petang Rabu lalu.

Selepas ditahan, maka muncullah 'hero-hero' DAP dan Pakatan Harapan yang menuduh tindakan SPRM itu sebagai satu perbuatan tidak beretika untuk menamatkan karier politik Guan Eng. PKR pula antara yang paling awal mempertahankan 'Khalifah' kesayangan mereka itu.

Ada di kalangan mereka yang menyalahkan media kerana menyiarkan berita mengenai skandal banglo mewah Guan Eng di Jalan Pinhorn yang dibeli dengan harga jauh dibawah harga pasaran itu. Sekali lagi, media menjadi mangsa untuk dipersalahkan.

Insiden penahanan Guan Eng itu mengingatkan penulis terhadap peristiwa hampir sama yang pernah menimpa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo. Kesudahannya, beliau dipenjara hampir setahun dan diparol beberapa bulan.

Jika diimbas kembali pada kes yang melibatkan Dr Khir, nama beliau ketika itu boleh dikatakan hampir setiap hari disiarkan media, tidak kira sama ada media pro-kerajaan mahu pun pembangkang. Liputan tetap ada.

Namun tiada siapa pun yang menyalahkan piha media ketika itu. Malah, Dr Khir mahupun penyokong beliau langsung tidak menuding jari pada media, sebaliknya melayan wartawan dengan baik menerusi penjelasan tentang perjalanan kes.

Sehinggalah dijatuhkan hukuman penjara setahun, Dr Khir sedikit pun tidak menyalahkan pihak media. Jadi, kenapa pula puak Pakatan Harapan 'melatah' dan menyalahkan pihak media selepas Guan Eng ditahan?

DAP menegaskan mereka 'paling bersih' dan mengamalkan 'ketelusan dan akauntabiliti'? Penulis juga yakin bahawa SPRM memiliki banyak 'locus standi' untuk mengheret Guan Eng ke muka pengadilan bersama 'prima facie' yang kukuh.

Malah jika dirujuk pada laporan-laporan media sebelum ini, ramai yang berpandangan bahawa kes Guan Eng adalah jauh lebih teruk dan 'kotor' berbanding kes Dr Khir yang desas-desusnya mengatakan beliau sengaja 'dikenakan' oleh pihak tertentu.

Cepat sungguh DAP melatah! Menyalahkan media, menuduh wujudnya konspirasi mahu menamatkan karier Guan Eng? Jika benar begitu, kenapa DAP tidak bela Dr Khir yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang lebih ringan berbanding Guan Eng?

Kenyataan 'paling bersih' itu benar-benar membuat penulis ketawa besar di bulan puasa ini. Enggan mengulas panjang tentang isu yang sudah masuk mahkamah ini, maka kita ikuti saja perbicaraan kes Guan Eng hingga ke akhirnya.

Penulis yakin, fakta dan kebenaran akan memalukan DAP di depan seluruh kaum Cina yang dikatakan kini menjadi penyokong kuat parti itu. Jika mereka masih menyokong DAP lagi selepas ini, maka tahulah kita siapa mereka yang sebenarnya... -Amir Hamzah/Utaranews.com 

Post a Comment

 
Top