0

Sehingga hari ini, seluruh negara sedang hangat memperkatakan tentang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ditahan dan didakwa dengan dua pertuduhan rasuah membabitkan banglo mewahnya di Jalan Pinhorn dan skandal tanah di Taman Manggis.

Seperti yang kita maklum, mahkamah menetapkan RM1 juta sebagai wang ikat jamin Setiausaha Agung DAP itu. Demi 'melepaskan diri' buat sementara waktu, anak Lim Kit Siang itu merayu rakyat untuk menderma kepadanya untuk wang ikat jamin tersebut.

Sejak merdeka dan wujudnya mahkamah di negara kita, sudah beribu ahli politik kerajaan mahupun pembangkang yang pernah disaman, diikat jamin, didenda, dikompaun dan ada yang terpaksa merengkok di dalam penjara serta muflis gara-gara perintah mahkamah.

Namun bagi pihak pembangkang dewasa ini, mereka suka melakukan kesalahan. Dan apabila kesalahan itu memerlukan mereka membayar sejumlah wang, maka mereka tanpa rasa malu meminta derma dari rakyat untuk menjelaskan hukuman atau ikat jami mereka.

Pemimpin DAP, Tony Pua yang kalah dalam satu kes saman sebelum ini pernah diperintah membayar ratusan ribu ringgit atas kesalahan yang dilakukan. Dia dikatakan antara yang pertama memungut derma untuk menjelaskan hukuman mahkamah atas kesalahannya.

Dan kali ini, Setiausaha Agung DAP pula mengikut jejak langkah Tony Pua? Guan Eng diperintah mahkamah untuk diikat jamin, tapi dia minta rakyat yang jelaskan wang ikat jaminnya? Wajarkah dia berbuat demikian?

Sebelum ini, DAP juga yang mendakwa rakyat jadi miskin gara-gara GST. Kononnya ada yang tidak makan dan terpaksa hidup melarat akibat 'kezaliman' BN. Dan apakah cara minta wang rakyat untuk menjelaskan ikat jamin RM1 juta itu tidak membebankan rakyat?

Walaupun perlu membayar GST, wang rakyat tetap dikembalikan menerusi pelbagai inisiatif kerajaan seperti BR1M, Bantuan Khas, imbuhan perayaan, bayaran perubatan, bayaran pendidikan, subsidi dan sebagainya.

Malah jika dikira dengan teliti, apa yang diberi kerajaan adalah lebih tinggi nilainya dari apa yang dikutip dari GST. Tapi, apa pula sumbangan Guan Eng jika rakyat tolong bayarkan wang ikat jaminnya? Rumah kos rendah untuk bumiputera di sebelah pulau? Atau rumah mewah yang tidak mampu dimiliki bumpitera Pulau Pinang?

Bukan dua tiga isu yang kita dengar tentang dasar, projek dan sentimen dasar pentadbiran DAP di Pulau Pinang. Sejak dari 2008 lagi bermula dengan isu Kampung Buah Pala, ramai rakyat bawahan di negeri ini kecewa, marah dan geram dengan Guan Eng dan DAP.

Dan kini, Guan Eng mahu rakyat bayarkan wang ikat jaminnya? Mintalah dari Miss Phang. Minta Miss Phang bayar wang ikat jamin Guan Eng dan Guan Eng pula bayarkan wang ikat jamin Miss Phang. Bukankah urus niaga itu melibatkan Guan Eng dan Miss Phang sahaja, mengapa perlu dirayu wang rakyat?

Pada pandangan penulis, Guan Eng wajar minta derma dari DAP, PKR dan Mahathir sahaja. Tidak perlu libatkan rakyat dengan masalah diri sendiri. DAP, PKR dan Mahathir bukannya miskin. Jika Mahathir jual sebuah dua kereta mewahnya, mungkin dapat menjelaskan wang ikat jamin Guan Eng. Itupun jika dia mahu tolonglah... -Amir Hamzah/Utaranews.com

Post a Comment

 
Top