0

Berdasarkan prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) diamalkan kerajaan DAP Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah semalam seharusnya mengambil cuti daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata sebagai kerajaan yang memperjuang CAT, Lim sepatutnya lebih memahami bahawa kes beliau belum selesai walaupun mahkamah membenarkan ikat jamin.

“Jadi sebagai seorang yang bermoral dan mempunyai sikap akauntabiliti, Lim harus melepaskan jawatannya atau bercuti sehingga namanya bersih daripada sebarang tuduhan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun Lim bukan seorang penjawat awam yang dilantik melalui Jabatan Perkhidmatan Awam yang tertakluk kepada Perintah Am, Lim harus faham bahawa pertuduhan itu dibuat berasaskan kedudukannya sebagai seorang penjawat awam selepas siasatan dijalankan.

Jahara, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, berkata beliau percaya Lim akan mempunyai ruang dan peluang yang sepenuhnya untuk membuat pembelaan di mahkamah.

“Bagaimana pentadbiran kerajaan dapat berjalan lancar sekiranya ketuanya dibayangi tuduhan penyelewengan,” katanya.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya Betty Chew Gek Cheng dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi tuduhan kedua, setiausaha agung DAP dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Post a Comment

 
Top