0

Lim Guan Eng tidak mempunyai pilihan melainkan bercuti atau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri selaras dengan amalan pentadbiran kerajaan mana-mana negeri yang telus dan berintegriti.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, sudah menjadi kelaziman dalam pentadbiran kerajaan mana-mana penjawat awam yang dituduh di mahkamah perlu bercuti sehingga kesnya selesai.

Malah, perkara sama juga diamalkan Kerajaan DAP Pulau Pinang apabila penjawat awam negeri ini tidak mengira pangkat diarah bercuti sekiranya bersabit kes mahkamah.

“Jadi mengapa dalam kes Guan Eng keadaannya pula berbeza? Mana keadilan kepada penjawat awam lain yang diarah bercuti sebelum ini apabila mereka berdepan kes mahkamah?

“Situasi Guan Eng sepatutnya lebih mendesak untuk beliau meletak jawatan kerana beliau me­rupakan ketua kepada penjawat awam di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas tindakan Guan Eng yang enggan melepaskan jawatannya meskipun berdepan dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Menurut Zainal Abidin, tindakan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri juga bagi mengelak sebarang pertikaian dalam sebarang keputusan yang dibuat menerusi Jawatankuasa Perancangan Ne­geri yang dipengerusikan Guan Eng.

Apatah lagi kata beliau, salah satu tuduhan yang dihadapi Guan Eng juga berkait dengan keputusan yang dibuat menerusi mesyua­rat jawatankuasa tersebut.

Selain itu tambahnya, tindakan meletak jawatan juga selari dengan kehendak pembangkang selama ini yang turut membuat desakan serupa terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berdepan tuduhan di mahkamah.

“Sebab itu adalah tidak masuk akal jika Guan Eng masih mahu memegang jawatannya dan beliau sepatutnya bercuti jika tahu malu dengan apa yang dihada­pinya ketika ini,” katanya.

Post a Comment

 
Top