0

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melaksanakan satu sistem yang mengenakan peraturan kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) terutamanya pelajar asing bagi memantau kegiatan militan dalam kalangan mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, mekanisme itu perlu dilakukan bagi memastikan anasir kegiatan militan tidak menular dalam kala­ngan para pelajar yang menuntut di IPT di negara ini.

Dengan langkah itu juga kata­nya, KPT dapat memberi tum­puan kepada setiap pelajar IPT ter­utamanya terhadap dari luar negara yang datang belajar di negara ini secara lebih teratur.

“Satu perjumpaan antara KPT dengan KDN akan diadakan bagi mendapatkan garis panduan sebelum sebarang sistem atau peraturan dibuat bersesuaian dan tidak pula akan menyusahkan sesiapa.

“Perjumpaan itu akan diadakan dalam bulan ini juga yang akan membabitkan pihak tertinggi dalam IPT dengan KDN,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Parlimen Besut yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 8,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil rakyat, pensyarah, pelajar IPT dan penduduk tempatan.

Idris diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin lalu yang mengesahkan dua daripada penyerang krisis tebusan sebuah restoran di Dhaka, Bangladesh, Sabtu lepas, pernah belajar di Universiti Monash di Sunway.

Namun Khalid berkata, polis tidak dapat mengesahkan jika mereka adalah penyerang ataupun mangsa.

Mengulas lanjut, Idris meng­anggap masalah kegiatan militan amat serius dan perlu diben­dung segera agar tidak menular di kalangan warga IPT.

Katanya, sebelum ini pemantauan memang telah dibuat, tetapi diharapkan melalui sistem yang bakal dilaksanakan itu, pemantauan terhadap kegiatan mi­litan itu di kalangan para penuntut IPT dapat dilakukan dengan lebih berkesan. – BERNAMA

Post a Comment

 
Top