0

Ketika seorang rakyat biasa kena saman dengan syarikat konglomerat atas sebab remeh, bila seorang lelaki yang hilang anggota badan dan pekerjaan menjadi bankrap dan nasib keluarganya tidak terbela, apabila seorang wanita fakir miskin yang curi makanan di pasar raya didenda beribu, tidak ada orang yang hirau (mungkin ada kalau kisahnya jadi viral).

Tetapi apabila seorang pemimpin, lebih-lebih lagi pemimpin pujaan anda disaman, berlumba-lumba anda wujudkan akaun di laman sosial mengutip derma, kononnya untuk menunjukkan solidariti.

Pemimpin anda sudah pun miliki berpuluh ribu, berjuta, mungkin berbilion wang ringgit dalam sakunya, anda pula atas nama solidariti sanggup tampung hukuman denda, saman atau perbelanjaannya.

Apakah namanya ini?

Taksub?

Oh tidak, mereka ada nama lain, namanya SOLIDARITI!

Menurut kamus dalam talian, solidariti bermaksud perpaduan atau persepakatan perjanjian di antara mereka yang mempunyai minat, gol, objektif dan fokus yang sama. Demi solidariti (di mana Malaysia lazimnya dihubungkaitkan dengan pemimpin), rakyat diminta bersatu dan menggerakkan sebuah usaha demi kebaikan dan manfaat pemimpin tersebut. Dalam erti kata lain, tanda sokongan tidak berbelah bahagi, tutup mata pun boleh!

Perkataan yang sama, SOLIDARITI digunakan, akhir-akhir ini dalam pelbagai perkara bukan sekadar menyokong secara moral dan rohaniah tetapi kewangan.

Saya pun pelik, apa sebenarnya yang cuba dicapai dengan mengumpul RM10, RM50 ataupun RM100 seorang demi mencukupkan wang yang jelas sepatutnya dibayar oleh tertuduh atau pihak yang bertanggungjawab.

Terlalu banyak kutipan seumpamanya dilakukan dan mereka yang dibantu bukanlah miskin mana pun. Malah mereka pernah menang berjuta-juta saman dan bergaji berbelas ribu ringgit, ini tidak termasuk komisen dan upah lain yang diperoleh atas tiket jawatan yang diduduki.

Saya kasihan bila ada pak cik dan mak cik yang hilang kerja atau hilang anggota badan akibat kemalangan, hilang pendapatan, terpaksa berjuang pagi dan malam untuk menyara hidup dan anak langsung tidak diendahkan masyarakat. Kalau nak keluar duit seringgit dua untuk mereka pun, fikir sepuluh kali, akhirnya tak jadi. Tetapi lain pula apabila melibatkan pemimpin ‘pujaan’ yang kaya-raya.

Ketaksuban kita membuak-buak bila mahu ‘sponsor’ orang kaya tetapi bukan mereka yang benar-benar perlukan.

Baguslah, buat lagi…

Esok lusa ada lagi ‘orang’ yang melakukan perkara sama terhadap negara dan kita pun demi semangat dan rasa sokongan tidak berbelah bahagi, derma mereka wang kita sebagai solidariti, umpama rakyat kena rompak dua kali.

Tak kisahlah siapa sekalipun, yang di ‘sana’ atau ‘sini’. Ini kerana bila semalam ‘yang sana’ berteriak atas nama solidariti, hari ini, ‘yang sini’ pula berbuat demikian. Balik-balik mereka mendayung atas sampan bernama rakyat.

Kaut pulangan untuk seorang merasa tetapi apabila diminta bayar, kutip derma daripada rakyat.

Satu atas nama skandal, satu lagi atas nama derma.

Mungkin kerana itulah kita masih dibelenggu pelbagai perkara asas berkaitan politik dan pendedahan besar-besaran pun tidak dapat dibuat apa-apa. Ketaksuban apakah ini? Sanggup pertahan dan membantu walaupun kebenarannya terang.. - Nizha Periaswamy

Post a Comment

 
Top