0

Seorang mahasiswa ditahan di asrama lelaki universiti tempatan, di sini, awal pagi semalam, selepas dipercayai terbabit dengan empat kejadian ragut di sekitar daerah Arau sepanjang bulan lalu.

Dengan memberikan alasan untuk mendapatkan wang tambahan bagi perbelanjaan harian, pelajar tahun akhir berusia 21 tahun itu kemudian menjadikan kegiatan ragut sebagai punca pendapatannya bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.

Namun, kegiatannya terbongkar selepas dia ditahan jam 3.30 pagi berdasarkan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, penahanan suspek dibuat selepas polis menerima empat laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Kita kemudian menubuhkan satu pasukan ‘task force’ bagi menyiasat empat kes ragut yang berlaku di sekitar Arau dan Jalan Pauh sejak sebulan lalu.

“Siasatan akhirnya membawa kepada penahanan seorang pelajar tahun akhir berasal dari Baling, Kedah yang menuntut di universiti awam berkenaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, di sini, semalam.

Katanya, modus operandi suspek melakukan jenayah ragut pada waktu malam menggunakan motosikal Honda EX5.

“Suspek akan mengekori mangsa yang kebanyakannya wanita terutama penunggang motosikal dan apabila melalui laluan gelap, suspek menutup lampu motosikalnya sebelum meragut barangan dalam raga motosikal mangsa,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mangsa berusia awal 20-an dan suspek juga gemar memakai pakaian gelap selain menggunakan plat pendaftaran yang berkilat bagi menyukarkan dikesan mangsa dan polis.

Nanda berkata, lazimnya mangsa terutama wanita sering meletakkan beg tangan atau dompet mereka dalam raga hadapan motosikal sekali gus memberi peluang kepada suspek untuk meragut sebelum memecut laju.

“Antara barangan samun yang ditemui bersama suspek adalah beberapa telefon bimbit, dompet, dokumen pengenalan diri mangsa dan kunci motosikal,” katanya.

Beliau berkata, kerugian semua mangsa dianggarkan RM6,000 dan suspek ditahan reman sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Post a Comment

 
Top