0

Polis menahan enam orang awal hari ini kerana disyaki memandu ketika dipengaruhi alkohol dalam 'Op Selamat' di sini hari ini.

Komander Subtek Op Selamat 9/2016 (Zon Utara), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Ahmad Adnan Basri berkata suspek ditahan di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah pusat bandar raya menghala ke Bayan Baru.

"Setiap mereka merekodkan bacaan lebih 80mg, dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Operasi dua jam bermula 2 pagi itu juga menyaksikan 66 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lain. Ia termasuk tidak mematuhi lampu isyarat (dua), tidak mempunyai lampu brek (satu), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (19), memandu tanpa lesen (empat), memandu dengan lesen tamat tempoh (satu), tidak menjelaskan cukai jalan (empat), tidak mempunyai perlindungan insurans (satu) dan tidak memakai topi keledar (satu).

Op Selamat yang bermula 29 Jun akan berakhir 13 Julai. Ia bertujuan menjaga keselamatan pengguna jalan raya semasa sambutan Aidilfitri. - BERNAMA

Post a Comment

 
Top