0

Kecurigaan yang dipendam sejak Pakatan Rakyat berkubur Ogos tahun lalu mungkin akan lebih pada sebelum Ogos tahun ini. Ini kerana sudah tidak ada kejujuran dalam hubungan antara PAS dan PKR.

Kedua-dua parti itu berkongsi kerajaan Selangor bersama DAP. Namun jika PAS memutuskan hubungan dengan PKR, PAS akan menjadi pembangkang paling kuat iaitu 13 kerusi DUN, manakala kerajaan Selangor memerintah dengan 13 ADUN PKR, 15 ADUN DAP dan dua ADUN PAN.

30 kerusi DUN dari 56 kerusi, hanya membezakan empat kerusi yang sudah tentu akan memeningkan kepala Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Semua sedia maklum, Azmin tidak disukai sebahagian besar pemimpin DAP kerana hubungannya dengan PAS. Azmin jadi MB selepas 'mencantas' Azizah (calon pilihan DAP) dengan mendapat sokongan PAS serta lima ADUN PKR yang lain.

Sebab itu Azmin sentiasa dalam dilema mengulas hubungannya dengan PAS selepas ketiadaan Pakatan Rakyat. Lihat sahaja semasa pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar bagaimana Azmin mengelak untuk berkempen all out menyokong calon Pakatan Harapan.

Bagaimanapun beliau endorse calon PH dan ini akan menyusahkan dirinya. Tindakan PKR yang menyeru pengundi agar tidak memilih calon daripada PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah pasti akan dijadikan bukti sebelum hubungan kedua-dua parti dinilai semula.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki dipetik media berkata kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan daripada pimpinan PKR yang disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap parti itu akan diperincikan sebelum Majlis Syura membuat keputusan sama ada hubungan dengan PKR patut ditamatkan atau tidak.

"Contoh dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memang satu pengkhianatan yang jelas yang dibuat oleh PKR. "Di mana PKR secara jelas menyeru pengundi jangan undi PAS sedangkan kita ada pakatan politik.

"Ini bukti-bukti pengkhianatan yang memang sudah berlaku," katanya. Tambahnya, PKR semakin menunjukkan belang terutamanya ketika PRK walaupun PAS bersama-sama dengan parti itu ketika saat genting bermula pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

"PAS masih menganggap ada hubungan dengan PKR, ketika PKR lemah kita bersama PKR walaupun DAP keluar daripada barisan alternatif dulu tetapi sekarang ini nampaknya PKR sudah mula hendak meninggalkan PAS.

"Hubungan ini sudah melebihi satu dekad bermula 1998 semenjak DSAI (Anwar Ibrahim) digugurkan daripada kabinet dan dipenjarakan, tetapi mutakhir ini PKR sudah menunjukkan perangai sebenar," tambahnya.

Terdahulu, Dewan Muslimat PAS pada Muktamar parti yang Ke-56 baru-baru ini menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR terutama pada pilihan raya umum akan datang. Usul yang dikemukakan Dewan Muslimat PAS Kedah dan akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS.

Justeru itu, Mohd Zuhdi memaklumkan sehingga kini proses mengumpul bukti-bukti yang menguatkan lagi pengkhianatan PKR terhadap PAS akan dikumpul dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, PKR katanya lagi sepatutnya mengambil pendekatan berkecuali agar tidak memberi kesan kepada PAS yang merasakan diri disisihkan walaupun mempunyai hubungan politik bersama-sama parti itu. - AD

Post a Comment

 
Top