0

Hanya dua minit diperlukan sekumpulan empat lelaki untuk melarikan wang tunai berjumlah hampir setengah juta ringgit dalam rompakan di sebuah premis pengurup wang di Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi, empat suspek terbabit yang bertopeng dan membawa senjata dipercayai parang meluru masuk ke dalam premis ketika seorang pekerja membuka pintu automatik kerana mahu melayan tiga pelanggan warga asing yang masuk untuk berurusan di kedai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan Deputi Superintendan Shamsudin Mamat berkata, empat suspek berkenaan dikesan menaiki Proton Waja dan mereka memberhentikan kereta di hadapan premis terbabit sebelum meluru masuk.

Menurutnya, suspek merampas sebuah beg mengandungi wang tunai RM500,000 yang juga hasil kutipan selama tiga hari di premis berkenaan.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan siasatan mendapati suspek hanya mengambil masa tidak sampai dua minit untuk melarikan bungkusan mengandungi wang tunai itu.

“Hasil siasatan juga mendapati wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun namun pemiliknya tidak dapat berbuat demikian berikutan bank masih ditutup sempena musim perayaan,” katanya.

Shamsudin berkata, ketika kejadian, ada empat pekerja dalam premis itu, bagaimanapun mereka bernasib baik kerana tidak dicederakan suspek yang hanya mengambil beg sebelum melarikan diri.

“Kami akan siasat daripada segenap sudut selain turut mengambil keterangan daripada pekerja serta beberapa saksi di lokasi,” katanya. HM

Post a Comment

 
Top