0

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin menggesa agar kerajaan menyenaraihitamkan dan menghalang seorang pelawak dari Singapura, Fakkah Fuzz daripada memasuki negara ini.

Menurut Nazir, tindakan Fakkah yang mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam lawaknya sebelum ini dianggap sebagai satu tindakan yang biadab.

“Cukup biadab apabila menyamakan Perdana Menteri sebagai pencuri dalam satu program realiti dan tindakan itu juga seolah-olah memperlekeh rakyat Malaysia sendiri.

“Tindakan itu (sekatan) perlu dilakukan agar tidak ada pihak luar yang secara biadab mempersendakan pimpinan negara kita dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan lawak, malah dituduh sebagai pencuri,”katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu, Nazir memaklumkan bahawa kejadian seumpama itu bukannya pertama kali berlaku di negara ini melibatkan rakyat dari seberang malah pernah satu ketika dahulu seorang komposer mengakui tidak mengenali Perdana Menteri Malaysia sedangkan dia turut mencari makan di negara ini.

Beliau berkata, hak kebebasan bersuara di Singapura kerap menjadi kritikan antarabangsa dan ia bukannya perkara baru walaupun tindakan undang-undang seperti pertuduhan jenayah dan saman sering digunakan ke atas mereka yang bercakap secara ‘bebas’.

“Oleh yang demikian kita kena ajar mereka untuk menghormati hati dan perasaan rakyat di negara ini, malah perlakuannya itu juga tidak layak dicontohi remaja kita.

“Jangan kerana perlakuan 'pelawak yang tidak cukup masak' ini, rakyat Malaysia tidak lagi menghormati rakyat Singapura,”katanya.

Tambah Nizar, pimpinan Singapura juga sewajarnya mengambil tindakan terhadap perbuatan pelawak ini kerana tidak menjaga sensitiviti rakyat di negara ini.

“Malah saya mengundang Fakkah Fuzz berjumpa dengan saya secara peribadi untuk mengajar beliau kehidupan bersopan santun rakyat di negara ini kerana saya yakin ada bahagian pada otaknya yang masih belum bercantum,”katanya.

Post a Comment

 
Top