0

Musim ketiga program realiti, Gegar Vaganza terus mencetuskan kontroversi apabila peserta yang diumumkan tidak mendapat lagu untuk konsert minggu kelima, Elly Mazlein bertindak menarik diri daripada pertandingan itu sebelum dia diisytiharkan tersingkir, malam tadi.

Menjelaskan tindakannya berundur daripada GV3, Elly memberitahu, dia kecil hati dengan juri tetap, Datuk Ramli MS yang mengaitkan sentimen simpati dan belas kasihan ketika mengulas persembahannya.

"Komen Ramli yang menyatakan terpulang dengan belas ihsan Astro sama ada saya mampu bertahan atau tidak, sangat mengecewakan sehingga membuat saya nekad untuk menarik diri.

"Kenyataan itu seolah-olah mengiyakan pendapat netizen yang mendakwa saya bertahan dalam program ini berdasarkan simpati semata-mata. Itu yang membuatkan saya hilang kekuatan dan tiada semangat untuk terus berjuang,"katanya pada sidang media.

Terdahulu, ketika Elly diumumkan tidak mendapat lagu bagi konsert kelima sekaligus tersingkir daripada GV3, ramai peminat dan pengikut program realiti itu bagai tidak percaya dan mempersoalkan keputusan dibuat.

Elly dikatakan memaklumkan pihak produksi mengenai keputusannya berundur daripada GV3 di belakang pentas sebaik saja Ramli memberi ulasan terhadap persembahannya bersama Achong ketika mendendangkan lagu Jangan Menangis Sayang.

Gagal mengawal emosi ketika diasak wartawan berhubung keputusannya itu, Elly memberitahu, dia bagaimanapun tidak mahu menuding jari terhadap Astro termasuk Ramli malah menyifatkan insiden berkenaan sebagai dugaan buatnya.

"Saya berterima kasih kepada Astro kerana memberi peluang ini. Lagipun markah saya pada minggu ini memang rendah. Sesuailah dengan keadaan yang berlaku," katanya. - BH

Post a Comment

 
Top