0

23/11/2016 - Adun DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perancang Bandar di Pulau Pinang kerana terlibat dengan tuduhan rasuah.

Beliau berkata Guan Eng sepatutnya bertanggungjawab diatas segala apa yang berlaku dan memegang prinsip ketelusan yang selama ini diwar-warkannya kepada rakyat.

Adun DAP berkenaan juga mahu Guan Eng menunjukkan sikap yang terpuji, apabila berdepan dengan kontroversi dan bukannya mendiamkan diri dengan harapan semuanya selesai sendiri.

Guan Eng sepatutnya menjaga imej parti DAP agar dipandang tinggi oleh rakyat, dan juga memastikan kerajaan DAP menjadi sebuah kerajaan bersih dan mampu menjadi yang terbaik.

Menurut Yee Cheu, pemimpin pembangkang seringkali mendesak dan meminta pemimpin politik khususnya BN supaya bercuti atau meletakkan jawatan sekiranya ada salahlaku yang dilakukannya.

Begitu juga jika ada pemimpin kerajaan yang disiasat ataupun yang didakwa oleh mahkamah diatas penyelewengan, mahupun salahguna kuasa didalam negara.

Malangnya, mengapa pendirian ini sukar dipertahankan dan dipraktikkan jika ianya berlaku kepada pemimpin lain terutamanya jika ia membabitkan pemimpin pembangkang?

Beliau juga berpendapat, tindakan melepaskan jawatan Pengerusi Perancang Bandar itu merupakan langkah terbaik bagi meredakan tekanan yang kian tinggi terhadap kerajaan negeri.

Beliau juga menjelaskan bahawa langkah perletakkan jawatan ini juga hanyalah sementara sahaja, sehingga keputusan mahkamah berkenaan isu dakwaan rasuah Guan Eng diperolehi.

Jun lalu, Lim Guan Eng telah didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai penjawat awam untuk mendapat keuntungan keatas dirinya dan isteri, Betty Chew, dengan meluluskan dua permohonan tanah di Balik Pulau.

Ketua Menteri berkenaan juga didakwa menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan harga yang murah bagi pembelian sebuah banglo mewah daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon.


Post a Comment

 
Top