1






Terbaru di laman Facebook, seorang ibu, Fazlin Johari memuat naik gambar beserta satu rakaman yang mana memaparkan kecederaan anaknya, Rayyan yang didakwa dipukul semasa berada di bawah jagaan pengasuh.

Rayyan yang berusia lapan bulan mengalami kecederaan lebam teruk di bahagian mata dan tulang tangannya bengkok dipercayai akibat didera.

Menurut Fazlin, dia menghantar anaknya ke rumah pengasuh sebelum pergi ke tempat kerja. Namun tidak menyangka anaknya didera oleh pengasuh dalam tempoh 11 jam itu.

“Pada mulanya, pengasuh mengatakan anak saya tercedera selepas terkena mainan patung ultraman pada bahagian matanya.

“Saya percaya sehinggalah sewaktu saya menyemput anak saya dalam keadaan lembik dan matanya mula bengkak,” katanya.

Tidak sedap hati dengan kecederaan yang menimpa ke atas anaknya, Fazlin terus membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan hospital mendapati, Rayyan mengalami hentakkan kuat pada bahagian mata, malah ujian X-Ray pada tangan anak kami juga menunjukkan tulangnya bengkok.

“Selain itu, terdapat kesan-kesan lain seperti kesan kuku di celah kangkang dan punggung, malah terdapat kesan lebam di dalam telinga, bawah hidung,” katanya.

Bagaimanapun, pengasuh berkenaan memberikan alasan bahawa dia mencuci hidung si kecil itu. Malah, mengakui tidak tahu apa yang berlaku pada tangan mangsa.

Menurut Fazlin, beliau dan suaminya tidak menyedari kesan penderaan itu pada anak mereka yang dilakukan sedikit demi sedikit.

“Asalnya hanya sedikit kesan, akhirnya semakin melarat dan semakin kerap sehingga menimbulkan rasa keraguan.

“Alhamdulillah satu persatu tanda dan bukti ditunjukkan membuatkan kami yakin bahawa Rayyan didera pengasuh.

Tambah Fazlin, dia dan suami telah membuat laporan polis dan mempunyai bukti kukuh anak mereka didera pengasuh berkenaan.

Ekoran dari kejadian itu juga, Fazlin turut fobia untuk menghantar anaknya kepada pengasuh lain dan mahu menjaga anaknya sendiri selepas kejadian yang tidak diingini itu berlaku.

Dia turut mengingatkan kepada golongan ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan memerhatikan perubahan yang dialami oleh anak-anak selepas mengambil mereka di pusat jagaan.

“Buat semua ibu bapa kat luar sana kalau anak kita ada tunjuk reaksi negatif terhadap orang lain especially pengasuh silalah mula ragu-ragu dan cepat-cepat cari punca sebelum anak menjadi ‘lauk‘, katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini laman sosialnya, Fazli memberitahu anaknya kini semakin beransur pulih tetapi masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.

Fazlin turut menyeru agar ibu bapa yang menghantar anak kepada pengasuh berkenaan agar tampil untuk menegakkan kebenaran sekiranya anak mereka juga menghadapi perkara yang sama seperti anaknya.

“Apa yang boleh saya katakan di sini bukan anak kami sahaja mangsa penderaan pengasuh yang sama ini.

“Kami berharap pihak itu tampil untuk menegakkan keadilan dan kita sama-sama membantu orang lain yang mungkin akan menghantar ke pengasuh ini, ” tulisnya lagi.  – MYNEWSHUB.CC


Post a Comment

  1. Pesanan utk sesiapa yg nak jdi pengasuh anak2 kecil,anda harus mengusahakan iman yg teguh..kesabaran yg tinggi sgt diperlukan dalam mengasuh anak2.. usahakan taqwa,jaga solat supaya Allah membantu urusan..

    ReplyDelete

 
Top