Baru-baru ini, disebabkan hujan lebat lebih dua jam bermula 3 petang di Padang Serai hampir 10 kampung di kawasan terbabit telah dilanda ...

10 kampung di Padang Serai terjejas banjir ketika Ramadan


Baru-baru ini, disebabkan hujan lebat lebih dua jam bermula 3 petang di Padang Serai hampir 10 kampung di kawasan terbabit telah dilanda banjir kilat. Banjir kilat terbabit telah menyebabkan tiga kampung terputus hubungan antara Permatang Tok Dik dan Naga Lilit apabila jalan utama yang menghubungkan kampung terbabit dinaiki air.

Seorang mangsa banjir dari Kampung Naga Lilit, Rabunah Harun,59 berkata agak terkejut apabila kawasan itu akan dilanda banjir kilat sekali lagi memandangkan kawasan itu baru sahaja dilanda kejadian sama pada November lalu.

"Kami tak sangka air naik lagi semalam, sebab baru saja rumah kami banjir bulan 11 tahun lalu. Lagipun semalam hujan sudah berhenti sejak petang lagi tiba-tiba saja air naik.

"Dalam jam 10 malam saya sudah tidur dalam bilik, tinggal anak buat kerja sekolah di ruang tamu, dia yang perasan air sudah naik, saya bangun tengok air sudah masuk dalam rumah, sempat angkat baju saja letak atas katil," katanya.

Manakala, Saibon Md Isa,64, berkata banjir kilat yang melanda rumahnya di bulan Ramadan ini benar-benar telah memberi tekanan emosi kepadanya kerana banyak barang rumah telah rosak ditenggelami air.

"Agak tertekan juga lah, saya ini sakit lutut bila berlaku banjir macam ini tak larat nak pergi mana-mana semalam pun saya duduk saja di rumah tunggu air surut.

"Habis semua tikar getah, perabot rosak. Perabot yang rosak sebab kena banjir pada November lalu pun masih ada, kali ini yang lain pula,"katanya.

Beliau berkata, kawasan ini sering dilanda banjir kilat kerana tali air yang tidak diselenggara dengan baik beberapa tahun lalu.

"Banjir ini berpunca daripada tali air dekat sini sudah lama tak di cuci, semak samun naik, sampah sarap tersangkut, dan ranting-ranting kayu pun tersangkut, air pun susah nak lalu.

"Memang depa sudah tak buat padi, tapi tali air ini perlu juga di jaga dan di cuci supaya banjir kilat tak kerap sangat berlaku," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai memaklumkan seramai lebih 171 keluarga iaitu 671 mangsa terlibat dan sembilan pusat pemindahan sementara telah dibuka.

"Kita telah buka sembilan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir di kawasan terlibat, dan sejak jam 7 pagi tadi kesemua mangsa sudah mula pulang ke kediaman masing-masing.

"Pasukan keselamatan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut terlibat untuk memberi bantuan yang diperlukan, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku," katanya. - utaranews.com