Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sekiranya dilaksanakan akan membuka 110,000 peluang pekerjaan dan d...

Abaikan peluang kerja untuk rakyat, kerajaan PH tekad batalkan projek HSR


Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sekiranya dilaksanakan akan membuka 110,000 peluang pekerjaan dan dijangka terus meningkat sehingga 442,000 menjelang tahun 2069. Namun, Kerajaan Pakatan Harapan tekad membatalkan projek mega berkenaan. 

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah tidak efisien sekiranya perbelanjaan yang sangat tinggi digunakan namun sekadar membuka kira-kira 100,000 peluang pekerjaan.

“Awak nak belanja RM60 bilion hingga RM100 bilion supaya 100,000 orang dapat kerja, ia tak efisien,” kata Mahathir dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan projek yang melibatkan laluan sepanjang 335 kilometer itu.

Semalam, Najib melalui catatan di laman media Facebooknya yang berkata, pembatalan projek berkenaan akan mengakibatkan Malaysia kehilangan potensi kewujudan 110,000 peluang pekerjaan.

Kata bekas Presiden UMNO itu, projek berkenaan sekiranya dilaksanakan akan membuka 110,000 peluang pekerjaan dan dijangka terus meningkat sehingga 442,000 menjelang tahun 2069.

Najib juga menegaskan keputusan melaksanakan projek HSR dilakukan berdasarkan kajian terperinci terhadap manfaat dari kos oleh kedua-dua pihak yang menurutnya turut membuktikan wujud manfaat sosial serta ekonomi untuk kedua-dua negara.

"Projek HSR Singapura-Kuala Lumpur bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja," ujarnya.

Beliau berkata, terdapat permintaan luar biasa terhadap perjalanan Kuala Lumpur-Singapura dan kerana itulah HSR sebenarnya memberi keuntungan kepada negara.

Sebelum ini, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Mahathir berkata pembatalan projek berkenaan tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi.

Kerajaan Pakatan Harapan juga memutuskan untuk membatalkan projek MRT laluan ketiga. - Utaranews.com