Lt. Gen. Tan Sri Abdul Ghani Aziz berkata, semua jenis sekolah tanpa mengira sama ada tahfiz atau vernakular harus dimansuhkan bagi memb...

Adakah sekolah Tahfiz tinggal sejarah dibawah kerajaan Pakatan?



Lt. Gen. Tan Sri Abdul Ghani Aziz berkata, semua jenis sekolah tanpa mengira sama ada tahfiz atau vernakular harus dimansuhkan bagi membina Bangsa Malaysia.

Kata beliau, negara ini harus ada sistem satu jenis sekolah sahaja sepertimana boleh dilihat wujud di negara Indonesia, Thailand dan lain-lain lagi.

“Dari mood yang ditunjukkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, kita sekarang mempunyai peluang untuk membangunkan "Bangsa Malaysia" yang buta kepada kaum, etnik atau agama," kata Abdul Ghani.

Beliau berkata, 17 tahun pertama di dalam kehidupan seseorang itu, merupakan tempoh yang paling penting dalam pembentukan sahsiah kerana pendedahan yang diterima mereka akan menentukan keperibadian, sentimen dan prejudis mereka juga.

"Ini hanya boleh berlaku jika semua kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun membesar bersama dengan pergi ke sekolah yang sama di mana mereka boleh belajar untuk berinteraksi, belajar dan bermain antara satu sama lain. Seperti kata pepatah Melayu " tak kenal maka tak cinta ", jadi mari saling mengenali.

"Kita perlu membuang semua sekolah lain, sama ada vernakular atau tahfiz, dan hanya mempunyai satu sekolah kebangsaan untuk semua kanak-kanak seperti yang kita lihat di Indonesia, Thailand atau mana-mana negara lain untuk perkara itu," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam penulisannya yang diterbitkan oleh akhbar The Star baru-baru ini.

Abdul Ghani juga menganggap kewujudan sistem unik di negara ini yang ada sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan tidak mempromosikan perpaduan negara.

"Saya merayu kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan mengkaji sistem sekolah sekarang dan mempunyai satu sekolah untuk semua rakyat Malaysia," tambah beliau. -Utaranews.com