Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Pakatan Harapan agar menyediakan leb...

Alumni mahu UITM dimasukkan dalam agenda Mesyuarat Majlis Raja-Raja


Sebelum ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Pakatan Harapan agar menyediakan lebih banyak peluang kepada kaum India berpendapatan rendah bagi memperbaiki taraf hidup termasuk pemberian tanah rancangan seperti Felda selain peluang meneruskan pengajian di UiTM

Tindakan dilakukan Hindraf itu dilihat tidak sepatutnya dilakukan kerana ia melibatkan Perlembagaan. Polisi penubuhan UiTM sudah jelas menunjukkan adalah memberi pendidikan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera.

Sehubungan itu, Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)  mencadangkan agar semua institusi berkaitan dengan hak orang Melayu termasuklah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dimasukkan dalam agenda Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Menurut Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad, langkah itu perlu diambil sebagai memberi hak keistimewaan kepada semua institusi orang Melayu supaya tidak sewenang-wenangnya disentuh dan dicabar oleh kaum lain.

Katanya, kini Majlis Raja-Raja bukan sahaja mempunyai kuasa terhadap kepentingan agama Islam, institusi berkaitan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), malah turut berkuasa terhadap kepentingan institusi Melayu lain seperti UiTM dan Mara.

"Kita setuju supaya Majlis Raja-Raja memasukkan dalam agenda mesyuaratnya agar semua institusi berkaitan bumiputera dinaungi majlis itu. Kita mahu tidak ada sesiapa yang berani sentuh soal hak dan keistimewaan orang Melayu.

"Maknanya, kuasa raja-raja bukan hanya fokus kepada agama semata-mata seperti sekarang, sebaliknya turut menyentuh apa saja institusi orang Melayu dan bumiputera," katanya.

Dalam pada itu, Syed Anuar juga menasihati Hindraf supaya meneliti terlebih dahulu sebelum mengemukan sebarang tuntutan terutamanya melibatkan tuntutan yang menyentuh perlembagaan negara.

"Lebih baik Hindraf cermin diri dulu, mereka tak sudah-sudah buat macam-macam tuntutan yang bukan-bukan walaupun dinaungi perlembagaan negara terutama yang menyentuh hak orang Melayu," ujarnya.

Jelasnya, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum lain di negara ini, malah setiap kaum di negara ini seperti Cina, Melayu dan India tidak pernah terkecuali dari menerima sebarang pembangunan dan kesejahteraan di negara ini.

"Justeru itu kita harap Hindraf jangan bimbang dan jangan takut pada bayang sendiri. Kita juga mahu kerajaan baharu sekarang supaya jangan layan tuntutan seperti ini dan pada masa-masa akan datang," tegasnya. - utaranews.com