Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 hanya perlu ditambah baik, bukannya dimansuhkan, kata bekas Majlis Perwakilan Pelajar (M...

AUKU hanya perlu ditambah baik, bukannya dimansuhkan


Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 hanya perlu ditambah baik, bukannya dimansuhkan, kata bekas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nazrul Nazir.

Beliau berkata, jika AUKU dimansuhkan, ia bakal membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk berbincang secara kritis soal dasar dan polisi kerajaan.

Malah, kata Nazrul yang merupakan mahasiswa jurusan undang-undang itu, ia juga akan mengurangkan pengaruh politik dalam pentadbiran universiti.

AUKU diperkenalkan pada 1971 merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971.

Ia juga merupakan suatu akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

AUKU merangkumi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya.

Mengulas lanjut, Nazrul berkata, AUKU cuma perlu ditambah baik dengan membuat beberapa pindaan seksyen dalam akta tersebut.

"AUKU tidak perlu dimansuhkan, hanya perlu dipinda sebahagian peruntukan yang bersifat mengekang suara dan kebebasan pelajar.

"Namun sekiranya kerajaan ingin memansuhkan akta ini dan diganti dengan akta baru yang lebih baik, mahasiswa menyambut baik usaha ini," ujarnya.

Beliau berkata, meskipun AUKU pernah dipinda pada 2012 yang memberi kelonggaran mahasiswa berpolitik di luar universiti sahaja, tetapi masih terdapat diskriminasi terhadap mahasiswa.

"AUKU lebih berkaitan mengenai soal pentadbiran dan perjalanan universiti, tetapi ada sebahagian peruntukan yang bersifat mengekang kebebasan mahasiswa.

"Sebagai contoh, seksyen 15 melarang mahasiswa untuk terlibat dalam kegiatan politik, namun ia dilonggarkan selepas pindaan tahun 2012 menjadikan mahasiswa hanya boleh berpolitik di luar kampus sahaja.

"Bagaimanapun, mahasiswa yang memihak kepada pembangkang dikekang dari menjalankan aktiviti di luar kampus dan disekat apabila cuba menyampaikan ideanya di dalam kampus, berbeza dengan mahasiswa yang  memihak kerajaan yang bebas untuk bersuara dan tidak disekat sebelum ini," katanya. -Utaranews.com