Sebahagian daripada wang tunai RM500,000 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bagi kegunaan misi ke Ga...

Azeez dakwa wang RM 500 ribu adalah untuk kegunaan misi ke Palestin


Sebahagian daripada wang tunai RM500,000 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bagi kegunaan misi ke Gaza, Palestin yang dirancang diadakan selepas pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Beliau berkata, wang yang dijumpai itu juga sebahagiannya merupakan peruntukan untuk perbelanjaan UMNO Bahagian Baling.

“Wang yang dirampas di Baling pula adalah milik UMNO Bahagian Baling.

"Ia sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Wang tersebut dirampas oleh pihak pencegahan rasuah negara dalam serbuan di kediaman dan pejabat MT UMNO itu, baru-baru ini.

Abdul Azeez mengesahkan bahawa beberapa anggota SPRM telah datang ke rumahnya di Baling, Kedah dan Subang, Selangor.

Selain itu, SPRM turut melakukan pemeriksaan di salah sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Selain wang tunai, Ahli Parlimen Baling itu berkata, pihak pencegahan rasuah negara itu juga merampas jam serta pelbagai mata wang asing antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling.

Apa pun, Abdul Azeez berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya diperlukan.

“Anggota SPRM bekerja secara profesional dan saya akan beri kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan,” kata bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tentang serbuan tersebut dan rampasan keseluruhan RM500,000 didapati dari tiga lokasi yang diserbu.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan.

Manakala, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud turut mengesahkan melakukan penggeledahan di rumah Ahli Parlimen Baling itu di Taman Bemban, Kupang dan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen di Batu 42, Pulai.

Walaubagaimanapun beliau, info lanjut tentang kes yang disiasat harus dirujuk kepada SPRM Putrajaya kerana dikendalikan oleh ibu pejabat dan SPRM negeri hanya membantu. -Utaranews.com