Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan digesa supaya bertindak terhadap Yang Dipertua Sarawak, Tun Taib ...

Beranikah Mahathir siasat kekayaan Taib Mahmud di Sarawak?


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan digesa supaya bertindak terhadap Yang Dipertua Sarawak, Tun Taib Mahmud. 

Gesaan itu susulan dakwaan-dakwaan rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Sarawak itu.

Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa terdapat bukti yang mencukupi untuk bertindak.

“Mereka (kerajaan baru) mesti ada kemahuan politik untuk mendakwa Taib, jika tidak mereka tiada beza dengan kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional ),” kata bekas presiden Majlis Peguam itu dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengulas berhubung kebimbangan dakwaan salah laku Yang Dipertua Sarawak itu mungkin akan “dipadam” selepas pertemuannya dengan Mahathir di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum ke-14. 

“Ya, saya bimbang tentang Taib. Saya fikir sudah cukup bukti di luar sana, bukan saja di sini, tetapi juga luar negara.

“Jika kamu hendak laksanakan agenda kedaulatan undang-undang, ia terguna pakai untuk semua, tiada kecuali,” katanya. 

Meskipun perbincangan antara Taib dan Mahathir masih belum jelas, seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputra (PBB) memaklumkan ini bahawa beliau tidak menolak kemungkinan terhadap pembentukan satu gabungan di peringkat negeri. 

Bekas Ketua Menteri Sarawak itu sudah lama berdepan dengan kritikan kumpulan pelindung alam sekitar atas dakwaan pembalakan serius terhadap hutan-hutan negeri selama tempoh 33 tahun pemerintahannya. 

Malah, beliau dispekulasikan menjadi antara orang terkaya di negara ini, yang ada pelbagai kepentingan perniagaan dalam serta luar negeri. 

Selain itu, beliau turut pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2011 dan sering dituduh kumpulan aktivis sebagai memperkayakan ahli keluarganya menerusi kontrak-kontrak pembangunan negeri. -Utaranews.com