Menjelang awal Ramadan lalu, harga ikan segar telah menunjukkan kenaikan antara RM2 hingga RM3 sekilogram. Kenaikan harga itu didakwa ber...

Betulkah Ikan Segar naik harga kerana bekalan kurang?


Menjelang awal Ramadan lalu, harga ikan segar telah menunjukkan kenaikan antara RM2 hingga RM3 sekilogram. Kenaikan harga itu didakwa berpunca daripada kekurangan bekalan kerana mendapat permintaan yang tinggi dari pengguna.

Kesemua jenis ikan segar seperti ikan kembung sebelum ini pada harga RM15-RM16 sekilogram naik kepada RM18 sekilogram dan ikan tongkol dari RM5 naik kepada RM8 sekilogram.

Peniaga, Ramdhan Jusoh menjelaskan, kenaikan harga akan berlaku apabila kekurangan bekalan selain tindakan sesetengah nelayan pesisir pantai menjual ikan terus kepada tauke bot nelayan laut dalam.

Beliau berkata, oleh itu peniaga akan tersepit di tengah dan terpaksa menjual ikan pada harga yang sedikit tinggi kerana kos membeli dengan tauke bot nelayan laut dalam meningkat.

"Kami pun jual cuma ambil untung seriyal samah (antara seringgat dan 50 sen) saja dan kami sokmo terangkan kepada pembeli kalau mereka merungut.

"Sepanjang 16 tahun saya jual ikan di sini, cuma kali ini harga ikan mahal sikit, memang tak dapat nak elak sebab kalau tidak memang tak dapat bayar gaji kuli (pekerja) dan tak mampu tanggung kos air batu," katanya.

Situasi ini dilihat akan terus berlarutan dan menyebabkan harga ikan segar terus naik sehingga menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Jelasnya, inisiatif yang boleh dilakukan pihak berkuasa untuk menangani isu kenaikan harga ikan ini adalah dengan melakukan pemeriksaan kepada tauke bot nelayan laut dalam iaitu peraih utama yang menentukan harga ikan di pasaran.

Ramdhan berkata, disebabkan harga yang dijual nelayan laut dalam yang tinggi menyebabkan ramai peniaga yang tidak berniaga kerana mendapat keuntungan yang sedikit selain simpati dengan pengguna yang merungut dengan kenaikan harga ikan. - utaranews.com