Bursa Malaysia terus mencatatkan penurunan sejak Isnin lalu. Penurunan ini berlaku apabila pelabur asing terus menjual saham mereka keran...

Bursa Malaysia jatuh merudum kerana khuatir tindakan agensi penarafan kredit


Bursa Malaysia terus mencatatkan penurunan sejak Isnin lalu. Penurunan ini berlaku apabila pelabur asing terus menjual saham mereka kerana kebimbangan dasar fiskal kerajaan baharu dan juga sejajar dengan prestasi pasaran serantau, kata peniaga.

Pada Isnin lalu, pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras 1,775.84. Namun, semalam pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 56.56 mata untuk ditutup kepada 1,719.28.

Indeks itu dibuka rendah turun 16.28 mata kepada 1,759.56 dan bergerak antara paras 1,709.51 dan 1,759.56 sepanjang hari dagangan.

Mengulas lanjut, Pengurus dan Pensyarah Kanan Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata Bursa Malaysia terus jatuh merudum kerana pelbagai faktor antaranya berkemungkinan disebabkan penurunan penarafan ke atas Malaysia oleh egensi penarafan kredit.

“Keadaan harga minyak yang tidak menentu, yang susut kepada AS$75 daripada AS$80 setong dalam jangka masa singkat juga menyumbang kepada aliran rendah itu ditambah dengan pengumuman pendapatan korporat Amerika Syarikat yang mengecewakan kerana tidak mencapai sasaran,” kata Ahmed Razman.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara projek mega yang akan dihentikan ialah Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) , manakala projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dikaji semula.

Sementara itu, mengikut sektor, Indeks Kewangan berkurangan 547.27 mata kepada 17,188.82, Indeks Perusahaan susut 102.07 mata kepada 3,052.89 manakala Indeks Perladangan turun 88.06 mata kepada 7,755.7.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion saham bernilai RM4.27 bilion daripada 1.29 bilion saham bernilai RM2.14 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 911.19 juta unit bernilai RM133.7 juta daripada 586.73 juta unit bernilai RM98.4 juta pada Isnin.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 404.25 juta saham bernilai RM49.09 juta daripada 300.51 juta saham bernilai RM39.19 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 65.19 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (410.52 juta), pembinaan (206.05 juta), perdagangan dan perkhidmatan (1.06 bilion), teknologi (86.11 juta), prasarana (50.91 juta), SPAC (2.57 juta), kewangan (148.61 juta), hotel (1.92 juta), hartanah (199.18 juta), perladangan (34.84 juta), perlombongan (247,200), REITs (15.39 juta) dan dana tertutup (5,000). - utaranews.com