Pengumuman tentang Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) melibatkan penjawat awam yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Julai depan yang dijanjikan keraj...

CUEPACS harap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) diteruskan kerajaan baharu


Pengumuman tentang Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) melibatkan penjawat awam yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Julai depan yang dijanjikan kerajaan terdahulu akan ditentukan semula oleh kerajaan baharu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Ali Hamsa berkata sama ada KGT akan dilaksanakan atau sebaliknya adalah terpulang kepada kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan baharu akan melaksanakan pemberian KGT terbabit kepada 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda, memaklumkan perlaksaan KGT mempunyai alasan kukuh memandangkan gaji penjawat awam sedia ada tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup.

"CUEPACS berharap kenaikan ini dapat diteruskan kerajaan baharu kerana ia sangat ditunggu-tunggu penjawat awam yang rata-rata gaji mereka tidak mampu menanggung beban kenaikan kos sara hidup.

"Ini berikutan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sudah begitu lama tidak disemak. Kali terakhir ia disemak ialah pada 2002, iaitu hampir 16 tahun lalu.

"SSM sepatut disemak setiap lima tahun. Namun apabila ia tidak berlaku, kenaikan kos sara hidup jauh meninggalkan gaji penjawat awam," katanya.

Azih berkata, CUEPACS merayu Perdana Menteri untuk melaksanakan KGT terbabit demi kebajikan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kerajaan.

"CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri untuk melihat ke arah kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang kerajaan," katanya. - utaranews.com