Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, beberapa negeri di Malaysia mula menunjukkan mengalami kenaikan harga barang. Pengguna dan penia...

Daging lembu RM 34 sekilogram di Perlis


Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, beberapa negeri di Malaysia mula menunjukkan mengalami kenaikan harga barang. Pengguna dan peniaga mula merungut dengan kenaikan harga yang melampau terbabit.

Rata-rata berpendapat harga barang naik kerana bekalan barangan yang berkurang kerana tidak dapat menampung permintaan tinggi dari pengguna menjelang musim perayaan seterusnya menyebabkan pembekal menaikkan harga.

Harga tidak menentu dari pembekal menyebabkan berlaku kenaikan harga daging iaitu daging pejal dijual pada harga RM38 sekilogram manakala RM40 sekilogram bagi batang pinang.

Bagaimanapun, lain pula di Perlis apabila harga barang mentah masih kekal pada harga sama walaupun mendapat permintaan yang tinggi dari pengguna.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis memberi jaminan harga kekal sama dan bekalan daging lembu serta ayam segar mencukupi sehingga Aidilfitri tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Perlis, Jamal Nor Ahmad Harun berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di pasar seluruh negeri mendapati harga daging lembu tempatan masih dijual pada harga stabil iaitu RM34 sekilogram.

"Sementara itu, harga ayam segar pula RM7.50 sekilogram.

"Pemborong dan peniaga telah memberi jaminan bekalan daging lembu dan ayam segar ini mencukupi sehingga Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Menurutnya, selain memantau harga daging lembu tempatan dan ayam segar pihaknya turut memeriksa harga barangan seperti telur ayam, makanan laut dan sayur-sayuran di pasar-pasar utama di negeri ini setiap hari. - utaranews.com