Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng didakwa menggunakan media untuk mengalihkan perhatian rakyat mengenai kes r...

Guan Eng didakwa guna media untuk alihkan perhatian rakyat tentang kes rasuah


Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng didakwa menggunakan media untuk mengalihkan perhatian rakyat mengenai kes rasuah yang membabitkannya yang masih dibicarakan di mahkamah.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Guan Eng dilihat mahu mengalih perhatian rakyat agar tidak mempersoalkan pelantikannya sebagai menteri kewangan kerana terpalit dengan kes rasuah yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Kata beliau, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu cuba menjadikan media sebagai mahkamah untuk mendedahkan pelbagai isu semata-mata ingin mencari kesalahan dan menjatuhkan hukuman.

Menurut MT UMNO itu, Guan Eng tidak tahu membezakan lagak seorang ‘street fighter’ dengan seorang menteri Kabinet.

“Satu lagi objektifnya ialah untuk mengalih perhatian rakyat agar tidak mempersoalkan perlantikan kontroversi beliau sebagai menteri kewangan kerana terpalit dengan kes rasuah yang dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Bermula daripada isu hutang negara, Lim Guan Eng menuduh kononnya kerajaan BN (Barisan Nasional) telah membelanjakan hampir RM7 Bilion untuk ‘bailout’ syarikat 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Soal dasar dan soal janji Kerajaan Pakatan Harapan langsung tidak dihuraikan,” kata Puad menerusi di laman media sosial facebooknya.

Dalam pada itu, Puad juga berkata, apakah yang dibuat oleh Guan Eng itu semata-mata kerana membalas dendam atau dipengaruhi oleh Tony Pua pegawai khasnya di Kementerian Kewangan (MoF).

Beliau berkata, Tony Pua sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) banyak mengeksploitasi isu 1MDB.

"Sebab itu wujud percanggahan dari awal lagi antara beliau dengan seorang lagi bekas ahli PAC daripada Dap iaitu Dr Tan Seng Giaw.

“Besar kemungkinan Tony Pua yang menasihatkan dan memberi fakta mengelirukan kepada Lim Guan Eng untuk diguna pakai dalam setiap sidang akhbar beliau sebagai menteri kewangan,” kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu.

Tambahnya, PAC yang mencadangkan agar semua aset hartanah 1MDB yang bernilai tinggi dan strategik dipindahkan kepada syarikat-syarikat milik MoF Incorporation.

“Justeru, adakah salah MoF membayar hutang 1MDB sebagai balasan kerana mengambil alih aset aset hartanah tersebut? Dan mengikut nilaian semasa, harga tanah tersebut ialah RM30 Bilion.

“Kalau PAC tidak mencadangkan aset itu diambil-alih oleh Kementerian Kewangan, sebenarnya 1MDB masih mampu membangunkan sendiri hartanah tersebut dan membayar hutangnya. Semua pihak tahu perkara itu dilakukan mengikut prosedur dan undang undang yang dibenarkan.

“Maka tidak timbul ia adalah ‘bailout’ sebagaimana Tun Mahathir ‘bailout’ syarikat perkapalan anaknya melalui ‘Danaharta’. Semua orang termasuk Lim Guan Eng dan ayahnya tahu perkara tersebut,” ujarnya.

“Apa kerajaan dapat bila syarikat perkapalan milik Mirzan di ‘bailout’? Tidak ada apa pun. Satu aset pun tidak dapat. Sedangkan dalam kes 1MDB, meskipun MoF Inc mengambil alih semua aset, tetapi hutang dan liabiliti 1MDB tetap kekal dengan syarikat 1MDB,” tambah beliau. - Utaranews.com