Selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, sudah banyak pihak yang mula membuat tuntutan tidak munasabah seperti...

Gubal Dasar Induk Negara untuk elak tuntutan tak munasabah


Selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, sudah banyak pihak yang mula membuat tuntutan tidak munasabah seperti terarah kepada pembentukan reformasi institusi serta merombak atau membubarkan dasar sedia ada.

Sehubungan itu,  Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan kerajaan PH mengubal Dasar Induk Negara yang merujuk kepada tiga teras utama iaitu wasiat raja-raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Hasan Mad, penggubalan terbabit sekali gus mewajibkan mana-mana perubahan perlu merujuk kepada dasar terlebih dahulu.

Katanya, terdapat pihak yang berani membuat tuntutan atau merombak dasar seperti menidakkan kewujudan dan peranan yang dimainkan oleh institusi raja-raja Melayu sebagai pemerintah di negara ini.

“Dengan adanya Dasar Induk Negara ini, segala perubahan atau penggubalan kepada mana-mana dasar, wajib terlebih dahulu merujuk kepada dasar ini.

“Begitu juga dengan penyusunan, rombakan apatah lagi pembubaran mana-mana institusi, wajib konsisten dengan peruntukan dalam Dasar Induk Negara ini. Ini bermakna rombakan atau pembubaran mana-mana dasar atau institusi wajib terlebih dahulu peroleh perkenan dari Majlis Raja-Raja,” katanya.

Terdahulu, terdapat suara-suara yang mendesak kerajaan PH supaya Jakim dibubarkan atau dikecilkan fungsinya. Antara alasan kerana ia dilihat mencampuri urusan agama yang sepatutnya diletakkan di bawah raja Melayu dan majlis agama negeri.

Dr Mahathir ketika ditanya sama ada Jakim akan dibubarkan baru-baru ini enggan memberi jawapan jelas, sebaliknya berkata ia belum diputuskan. - utaranews.com