UMNO perlu memastikan orang yang betul-betul layak untuk bertanding jawatan tertinggi parti berkenaan, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT)...

Hanya yang benar-benar layak sahaja bertanding jawatan tertinggi UMNO


UMNO perlu memastikan orang yang betul-betul layak untuk bertanding jawatan tertinggi parti berkenaan, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Beliau berkata, UMNO sekarang dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi kerajaan yang mentadbir, jadi mereka yang mahu menawarkan diri bertanding harus tahu transformasi yang ingin dibuat untuk mendapat keyakinan rakyat kepada parti itu.

“Kita perlu memastikan orang yang benar-benar layak untuk menawarkan diri. UMNO sekarang dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi kerajaan yang memerintah.

“Mereka yang hendak menawarkan diri bertanding mesti tahu apakah transformasi yang mahu dilakukan bagi menarik keyakinan rakyat untuk bersama kita,” kata beliau.

Mohd. Sharkar berkata, beliau menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang sebulat suara bersetuju agar semua jawatan di peringkat tertinggi dipertandingkan untuk memantapkan lagi parti.

MT UMNO itu juga berkata, pihak beliau memberi sokongan usaha dibuat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden parti.

“Saya akan terus bersama Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk memulihkan kembali parti seterusnya terpulang kepada perwakilan masing-masing.

“Di Pahang kita memberi sokongan terhadap usaha tersebut dan tidak menghalang serta menghormati keputusan yang dibuat demi memperkukuhkan UMNO,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau mengulas sama ada berhasrat untuk bertanding tiga jawatan tertinggi UMNO berkenaan, berkata tidak dan hanya menyokong yang terbaik untuk parti.

“Saya tidak berhasrat untuk bertanding jawatan tertinggi itu,” ujar Mohd. Sharkar. - Utaranews.com