Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menetapkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini adalah pada kadar enam peratus dikura...

Harga kereta belum tentu murah selepas pelaksanaan semula SST


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menetapkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini adalah pada kadar enam peratus dikurangkan sehingga kadar sifar (0%) bermula 1 Jun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan arahan supaya kutipan GST dihentikan dan akan membayar balik cukai tersebut kepada rakyat yang membuat tuntutan.

Pengumuman itu memberi gambaran harga barang dan harga kenderaan akan turun selepas perlaksaan GST pada kadar sifar peratus dan melaksanakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, harga kenderaan belum tentu dapat dijual pada harga murah walaupun GST pada kadar sifar jika SST dilaksanakan semula dicadangkan adalah lebih tinggi berbanding GST sebelum ini kata peserta industri.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, memaklumkan cadangan kerajaan SST pada kadar 10 peratus memainkan peranan penting dalam menentukan harga kenderaan kelak.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan PH akan meletakkan SST pada kadar yang lebih rendah untuk memastikan harga kenderaan lebih murah selepas melaksanakan GST pada kadar sifar mulai 1 Jun ini.

"Secara umumnya, SST sebelum GST dilaksanakan dulu adalah pada kadar 10 peratus. Jika mengambil kira angka ini, kita menjangkakan harga kenderaan akan meningkat pasca-SST. Ini adalah perkiraan mudah jika kadarnya sama seperti SST sebelumnya," katanya.

Aishah berkata, jika SST ditetapkan pada kadar rendah sekali gus akan menurunkan harga kenderaan dan menarik lebih ramai rakyat tempatan memberi kenderaan.

"Kita mengharapkan kadar sebenar yang akan ditentukan kelak lebih rendah daripada enam peratus. Apa pun kita menantikan keputusan kerajaan mengenai kadar SST. Masa GST dilaksanakan, harga kereta mengalami sedikit penurunan," katanya.

Jelasnya, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi sama ada harga kenderaan akan murah atau sebaliknya tetapi pihaknya sudah bersiap sedia dengan perlaksanan SST dan menunggu ia dilaksanakan.

"Kita akan bersiap sedia untuk pelaksanaan SST dan kita menunggu keputusan kerajaan mengenai bila ia akan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Automotif Tempatan dan Pengarang portal permotoran Funtasticko, Shamsul Yunos, berkata wajar kerajaan melaksanakan SST pada kadar yang lebih rendah sebagai usaha untuk menurunkan harga kenderaan sekali gus mengembangkan industri automotif negara.

"Saya berpendapat kerajaan wajar menurunkan kepada kadar yang lebih rendah daripada enam peratus dalam usaha mengembangkan industri automotif di negara ini terutama dalam keadaan pasaran yang perlahan sekarang.

"Tapi saya percaya mereka (kerajaan) kini sedang mempertimbangkan kadar peratusan yang lebih sesuai terutama buat industri automotif kerana tarikh pelaksanaan belum diputuskan," katanya. - utaranews.com