Setiap kali menjelang musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri, ramai penjual yang memilih untuk menjual mercun dan bunga api kera...

Individu jual mercun di bulan Ramadan akan dikenakan tindakan tegas


Setiap kali menjelang musim perayaan terutamanya Hari Raya Aidilfitri, ramai penjual yang memilih untuk menjual mercun dan bunga api kerana mendapat pulangan yang lumayan.

Bagaimanapun, tindakan tegas akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada mana-mana pihak yang didapati menjual mercun sepanjang bulan Ramadan ini.

Mengulas lanjut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Wan Mohd berkata, sehingga kini masih tiada sebarang permit atau kebenaran untuk menjual mercun dan pihaknya akan sentiasa memantau penjualan mercun pada musim perayaan ini.

“Setakat hari ini, tiada sebarang permit atau kebenaran menjual mercun kecuali beberapa kategori mercun dan bunga api yang dibenarkan sahaja.

“Sebagai contohnya mercun Pop-Pop dan beberapa jenis lagi manakala yang lain semuanya tidak dibenarkan,” katanya.

Ahmad Najmuddin berkata, pihaknya amat memandang serius perkara ini dan akan memastikan tiada individu yang akan mengambil kesempatan untuk menjual bahan terlarang itu pada musim perayaan.

Jelasnya, terdapat pemantauan rapi akan dilakukan oleh setiap ketua polis mengikut daerah di kawasan masing-masing.

“Jadi selepas ini, jika kita dapati masih ada peniaga yang berdegil menjual barang terlarang, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Tahun lalu, terdapat tiga kes kecederaan akibat mercun yang telah dicatatkan di Kedah. Tiga kes itu, satu mengalami kecederaan serius akibat bermain mercun bola dan dua hanya cedera ringan. - utaranews