Kemunculan media sosial dilihat memang memberi kesan besar kepada masyarakat seluruh dunia. Media sosial juga menjadikan dunia tanpa semp...

Jangan abaikan dan salahguna etika penggunaan media sosial


Kemunculan media sosial dilihat memang memberi kesan besar kepada masyarakat seluruh dunia. Media sosial juga menjadikan dunia tanpa sempadan semuanya hanya di hujung jari.

Masyarakat memang boleh mendapat banyak faedah daripada media sosial seperti bahan untuk perniagaan, pendidikan, hiburan dan sebagainya. Namun, media sosial juga boleh menjadi sebaliknya jika disalahguna antaranya seperti penyebaran berita palsu.

Pensyarah, Universiti Sains Islam Malaysia, Nurul Husna Fathiyyah Mohd. Asri berkata ramai pengguna media sosial cuba menjadikan media sosial sebagai tempat untuk meraih populariti.

Beliau berkata, rakyat Malaysia memang mempunyi hak bersuara di media sosial tetapi jangan salahguna hak itu.

"Perlembagaan Persekutuan, Artikel 9 (1) menyatakan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan untuk bersuara akan tetapi mempunyai had tertentu.

"Ini bermaksud rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berkempen, menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan dan pendapat," jelasnya.

Husna berkata, sebarang hak bersuara di media sosial jika cenderung untuk menjatuhkan institusi Kerajaan Persekutuan dan institusi Raja-raja Melayu boleh dikenakan hukuman.

Jelasnya, jangan terlalu ketagih dengan media sosial sehingga membawa keburukan dan menyebarkan berita palsu semata-mata mahu menarik perhatian pengguna media sosial lain.

"Janganlah kita terlalu ketagih ketika menggunakannya risau nanti akan membawa kepada mudarat. Walaupun penggunaan teknologi menjadi sangat penting pada masa kini, manusia tetap memerlukan peralatan tradisional untuk melangsungkan hidup seperti kertas dan pen untuk menulis dan masih ada segelintir masyarakat yang membaca surat khabar.

"Jangan kita menyalahgunakan teknologi ini dengan menyebarkan berita palsu hanya semata-mata untuk meraih perhatian dengan menyakiti semua pihak. Ada juga yang menggunakan media sosial untuk berniaga dan hanya ingin mengaut keuntungan dengan menipu pembeli di luar sana," katanya. - utaranews.com