Kerajaan Pakatan Harapan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada hak untuk menyiasat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Naji...

Jangan memalukan dan heret ahli keluarga DS Najib dalam siasatan 1MDB


Kerajaan Pakatan Harapan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada hak untuk menyiasat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya terdapat salah laku rasuah dan penyelewengan sepanjang pentadbirannya termasuk dalam skandal 1MDB, kata Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarrajh Chandran.

Tetapi, beliau berkata, pihak berkuasa berkenaan perlulah memberi layanan secara adil kepada bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sepanjang tempoh siasatan.

“Siasatan itu adalah hak kerajaan, kalau mereka merasakan ada perkara yang prasangka dan syak, itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat siasatan.

“Saya juga memohon kepada agensi tersebut (SPRM) layanlah bekas pemimpin tersebut secara adil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat agar tidak memainkan isu 1MDB dengan agresif dan keterlaluan hingga memalu dan mengheret anggota keluarga bekas perdana menteri keenam itu dalam laman media sosial.

Beliau berkata, baru-baru ini, gambar beg dan duit (tunai) itu bukan kepunyaan Najib tapi telah dimainkan dalam media sosial.

“Banyak kata-kata kesat dikeluarkan terhadap beliau dan keluarga dalam media sosial.

“Jangan kita mempersendakan, menghina sampai keluarga beliau pun diheret.

"Saya tengok masih ada lagi netizen mengeluarkan kata-kata kesat dan serangan peribadi,” kata Sivarrajh.

Tambahnya, Najib telah dihukum rakyat pada pilihan raya umum 9 mei lalu dan sekarang semua pihak harus membuka ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dakwaan salah laku rasuah dan skandal 1MDB.

“Kita bagi masa kepada agensi-agensi dan kerajaan hari ini (Pakatan Harapan) untuk menjalankan siasatan sama ada wujud kesilapan atau peranan yang dibuat oleh bekas pemimpin.

“Saya rasa beliau sudah dapat hukuman, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 rakyat telah menghukum pimpim tersebut dan BN tapi jangan kita buat lebih daripada itu.

“Biar mereka (SPRM) menyiasat dan membawa beliau ke muka pengadilan,” ujar beliau. - Utaranews.com