Cadangan Ahli Parlimen PKR bagi kawasan Miri,Dr Michael Teo Yu Keng meminta pemansuhan agama Islam daripada kad pengenalan memang mendapa...

Jangan mengganggu status Islam bagi orang Islam di kad pengenalan- Perkasa


Cadangan Ahli Parlimen PKR bagi kawasan Miri,Dr Michael Teo Yu Keng meminta pemansuhan agama Islam daripada kad pengenalan memang mendapat perhatian ramai khususnya umat Islam.

Pemansuhan itu disifatkan sebagai kurang ajar dan seperti sengaja mahu mencetuskan ancaman kepada agama Islam dan mencabul perlembagaan negara.

Sehubungan itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran kepada mana-mana pihak untuk tidak mengganggu perpaduan nasional walaupun negera telah diperintah oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh memaklumkan, walaupun kerajaan telah bertukar tidak bermakna perlembagaan negara juga boleh ditukar.

“Demi perpaduan nasional dan kelangsungan negara yang aman damai, Perkasa ingin  mengingatkan pemimpin bukan bumiputera ini supaya sedar Malaysia adalah negara yang sama, cuma kerajaannya sahaja yang baharu.

“Kenapa nak ganggu orang Islam? Label Islam di kad pengenalan hanya untuk mengenali orang Islam.

“Kita beri amaran kepada individu atau organisasi bukan Islam supaya jangan mengganggu status Islam bagi orang Islam di kad pengenalan,” tegas beliau.

Selain itu, Sirajudin turut menyindir golongan yang menyokong Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) kerana begitu gembira menyambut kemenangan kerajaan baharu dalam PRU14 baru-baru ini seolah-olah kerajaan baharu menyokong mereka.

Jelasnya, adalah sangat menyedihkan jika kerajaan baharu mengikut segala cadangan dan menyokong kumpulan LGBT yang jelas bertentang dengan Islam dan masyarakat.

“Perkara dengan tegas tidak akan merestui kumpulan ini kerana sudah LGBT adalah kumpulan manusia songsang yang akan memporakperandakan hidup berkeluarga dan bermasyarakat,” katanya. - utaranews.com