Jangan mudah berjanji kepada rakyat kalau liat untuk menunaikannya, kata  bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), ...

Jangan mudah berjanji kepada pengundi kalau liat untuk tunaikan


Jangan mudah berjanji kepada rakyat kalau liat untuk menunaikannya, kata  bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Lokman Adam.

Beliau merujuk kepada janji Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 pakatan itu untuk menghapuskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari jika mereka berjaya memerintah di peringkat Persekutuan.

"Sebelum PRU-14 Pakatan Harapan berjanji, hari ini perintah, esok hapuskan GST, tapi apabila menang Tan Seri Dr Zeti Akhtar Aziz (Majlis Penasihat) memaklumkan perlu lebih dari 100 hari untuk hapuskan GST.

"Manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyatakan berhenti kutip GST serta merta yang mana memperlihatkan semua pemimpinnya mengeluarkan kenyataan berbeza," kata beliau.

Beliau berkata, ketika pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) 2014, kutipan yang dibuat ialah RM18 bilion tetapi tahun lepas kutipan dari GST RM44.3 bilion yang mana berbeza RM26.3 bilion sementara hasil minyak 2014 ialah 66 bilion, tetapi pada 2016 berbaki RM30.1 bilion.

“Kita hilang hasil RM35.1 bilion, maknanya GST selamatkan kita bila negara hilang hasil minyak. Itu pun, kita masih tak cukup RM8.8 bilion.

"Kerajaan PM Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) cuma potong belanja pengurusan RM5.5 bilion, dan baki tak cukup lagi RM3.3 bilion, PM Najib tampung dengan penjimatan yang dibuat melalui rasionalisasi subsidi,” jelasnya.

Tambah Lokman Adam, kerajaan ketika itu hentikan subsidi pukal beberapa barangan tertentu dan diganti dengan subsidi bersasar bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata, bekas perdana menteri, Najib selamatkan negara ini dari menjadi seperti Saudi, Mesir, Tunisia, Jordan dan negara-negara lain yang menaikkan harga minyak untuk rakyatnya berlipat kali ganda.

“Kita juga terselamat tak jadi macam Brunei yang memotong gaji penjawat awam 20 peratus.

“Di Malaysia, PM Najib apung harga minyak, minyak RON95 dari RM2.30 seliter turun sehingga RM1.60 seliter, malah gaji penjawat awam bukan sekadar tidak dipotong, naik pula dua anak tangga gaji,” kata beliau.

Beliau berkata, tetapi bila Pakatan Harapan menang kerana janji mahu memansuhkan GST dan memperkenalkan kembali SST, mana nak cari duit tampung kehilangan hasil minyak RM35.9 bilion.

Selain itu, katanya, mana juga nak cari duit ganti lebihan GST berbanding SST RM26.3 bilion sedangkan jumlah kehilangan RM62.2 bilion.

“Jawapannya mudah! Mungkir Janji, Buat U-Turn, Ubah ke 0% GST dan akhir sekali bila semua pilihan yang ada tidak boleh tunaikan juga apa yang mereka nyatakan dalam manifesto… Menteri Kewangan yang baru, Joseph Lim Guan Eng kata …pengumuman bahawa GST akan dihapuskan adalah palsu.

“Kepada kerajaan Tun Mahathir DAP, lain kali berfikir sebelum berjanji.

"Bukan berjanji baru fikir macam mana nak tunaikan, Nasi sudah jadi bubur, terlajak perahu boleh berundur, terlajak janji merana pengundi,” tabahnya. -Utaranews.com