Janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan sukar ditunaikan dan hanya membawa padah kepada pentadbiran kerajaan bah...

Janji harga minyak RM 1.50 sudah jadi bahan lawak


Janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan sukar ditunaikan dan hanya membawa padah kepada pentadbiran kerajaan baharu itu, kata Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Janji yang terkandung dalam manifesto PRU-14 Pakatan Harapan antaranya adalah janji mahu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menstabilkan harga minyak dibawah paras RM 1.50 seliter.

"Mereka sedar janji mereka buat pada PRU-14 telah membawa padah seperti janji nak hapus GST, laksanakan paras harga minyak RM1.50.

"Ini sesuatu yang tidak masuk akal dan lawaklah bagi saya," kata Lokman Noor dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol untuk ketika ini walaupun harga minyak mentah dunia meningkat lebih daripada AS$70 setong.

Susulan itu, harga petrol untuk RON95, RON97 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.20 seliter, RM2.47 seliter dan RM2.18 seliter sejak lebih sebulan lepas.

Untuk penghapusan GST pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menjadikan kadar cukai tersebut kepada sifar selewat-lewatnya 1 Jun 2018.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dihapuskan pada 1 April 2015 lalu pula akan diperkenalkan kembali untuk menggantikan cukai GST.

Dalam kenyataan sebelum ini, Lokman Noor membidas pemimpin Pakatan Harapan yang mengeluarkan kenyataan berbeza berhubung GST.

Beliau berkata, sebelum PRU-14 Pakatan Harapan berjanji, hari ini perintah, esok hapuskan GST, tapi apabila menang Tan Seri Dr Zeti Akhtar Aziz (Majlis Penasihat) memberitahu perlu lebih dari 100 hari untuk hapuskan cukai berkenaan.

Katanya, sementara Mahathir pula menyatakan berhenti kutip GST serta merta yang mana menunjukkan semua pemimpinnya mengeluarkan kenyataan berbeza. - Utaranews.com