Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-1...

Kekalahan bawa hikmah kepada UMNO untuk laksanakan pembaharuan


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membawa hikmah tersendiri kepada UMNO di mana ia memberi ruang kepada parti itu untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti.

Kata beliau, berdasarkan keputusan PRU-14 lalu, UMNO dan BN perlu berlapang dada dan menerima suara rakyat dengan terbuka.

“Buat BN terutamanya parti saya sendiri iaitu UMNO, kita harus berlapang dada dan menerima suara rakyat dengan terbuka.

"Pimpinan UMNO di setiap peringkat perlu bermuhasabah dan berani melakukan perubahan radikal bagi memulihkan keyakinan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi UMNO Kelantan berkata, beliau berharap pemilihan parti yang akan diadakan nanti bakal membawa perubahan dikehendaki.

Beliau berkata, keputusan Majlis Tertinggi UMNO membuka semua jawatan untuk dipertandingkan diharap mampu memperbaiki imej parti.

“Kita tidak boleh terus bersikap jumud dan memandang remeh perkara-perkara ini.

"Keputusan Majlis Tertinggi UMNO membuka semua jawatan untuk dipertandingkan pada pemilihan parti nanti adalah di antara keputusan yang mampu memperbaiki imej parti ini," ujarnya.

Beliau juga berharap pemilihan parti itu bulan depan bebas daripada amalan politik wang, selain berlangsung dalam suasana kekeluargaan.

Beliau berkata, ahli UMNO perlu menolak budaya negatif yang mencalarkan imej parti termasuklah sifat angkuh, amalan politik wang dan retorik perkauman yang melampau.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu menyaksikan buat kali pertama BN kalah selepas 61 tahun memerintah negara, membolehkan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara. - Utaranews.com