Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan satu kenaikan gaji tahun...

Kenaikan gaji penjawat awam belum dimuktamadkan


Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Beliau berkata, kenaikan KGT itu adalah dengan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Katanya, kenaikan gaji tersebut juga dilakukan sebagai menghargai pengorbanan serta penat lelah penjawat awam yang disifatkan sebagai kawan setia kerajaan.

"Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi KGT disamping gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya.

Namun, kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan berkata status KGT untuk penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai ini masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan semula.

Jelas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, kenaikan KGT untuk penjawat awam diumumkan oleh kerajaan terdahulu dan kini apabila wujudnya kerajaan baharu terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu melaksana atau sebaliknya.

"KGT itu adalah janji (kerajaan) dahulu, sekarang kita serah kerajaan baru untuk tentukan. Kita ikut manifesto kerajaan sekarang.

"Jadi, esok ada mesyuarat Kabinet, kita tunggu, mungkin perkara ini akan diputuskan kemudian," katanya. -Utaranews.com