Dakwaan mengatakan hutang negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 65 peratus, iaitu perbezaan ketara dari angka rasmi...

Kenyataan mengelirukan pemimpin PH beri kesan buruk ke atas indeks Bursa Malaysia


Dakwaan mengatakan hutang negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 65 peratus, iaitu perbezaan ketara dari angka rasmi 50.9 peratus, dan mengatakan hutang negara RM1 trilion tetapi tidak menjelaskan secara terperinci tentang apa yang dimaksudkannya, akan menyebabkan pasaran kewangan terganggu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri keenam itu berkata, ia juga akan menakutkan agensi penarafan kredit dan menghilangkan keyakinan pelabur terhadap institusi negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM).

"Sepatutnya perlu ada perbezaan jelas antara naratif politik dan fakta.

"Mencampur aduk kedua-duanya akan menimbulkan keraguan terhadap kebolehpercayaan angka rasmi kita dan profesionalisme institusi terbabit, yang ditadbir oleh undang-undang Malaysia dan mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan di laman Facebooknya bertajuk Cerita Politik atau Fakta? (Political narrative or facts?).

Bekas Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan daripada kenyataan yang membimbangkan dan mengelirukan ini, Indeks Bursa Malaysia mengalami kejatuhan paling banyak di antara semua pasaran saham di seluruh dunia, mengakibatkan berpuluh bilion ringgit dalam nilai pasaran hilang dalam tempoh satu hari.

“Indeks Bursa kita jatuh 40.78 mata atau 2.21% hari ini (semalam), berbanding indeks Indonesia yang menokok 0.71%.

“Portal berita bisnes, The EdgeMarkets melaporkan, kejatuhan teruk pasaran saham ini disebabkan kebimbangan terhadap hutang awam kita," katanya.

Najib berkata, sudah pasti kejatuhan ini akan menjejaskan dana negara seperti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PNB (Permodalan Nasional Berhad), dan (seterusnya) boleh menurunkan kadar dividen bagi anggotanya untuk tahun ini.

Tambahnya, meskipun kerajaan Pakatan Harapan ingin terus memfitnah dan menyalahkannya bagi memberikan persepsi tentang kedudukan kewangan yang sangat teruk menyebabkan kerajaan baru tidak dapat melaksanakan janji manifesto pilihan raya dan mewajarkan langkah mengurangkan ahli perkhidmatan awam, namun kerajaan Pakatan Harapan harus ingat bahawa negara dan rakyat mesti didahulukan.

"Pakatan Harapan juga boleh mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan mengenai 1MDB atau memberitahu separuh cerita mengenainya untuk menyalahkan saya, tetapi masa untuk bermain politik sudah berlalu.

"Kata-kata yang diucapkan oleh orang yang memegang kuasa boleh menyebabkan kerugian sebenar kepada negara dan rakyat, seperti yang terbukti hari ini menerusi kejatuhan pasaran saham.

"Ia bukan mengenai undi lagi.

“Kata-kata yang diucap sewaktu menjadi pembangkang tidak sama kesannya ketika anda kini memegang kuasa dan menduduki jawatan menteri kewangan atau perdana menteri," katanya. - Utaranews.com