Biro Tanah, Pertanian, dan Luar Bandar AMANAH Negeri Kedah, berharap agar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat membela nasib peno...

Kerajaan baru diharap tetapkan harga getah pada RM3 hingga RM4 sekilogram


Biro Tanah, Pertanian, dan Luar Bandar AMANAH Negeri Kedah, berharap agar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat membela nasib penoreh getah dengan mengkaji semula sistem Insentif Penoreh Getah atau IPG.

Pengarahnya, Sulaiman Ibrahim berkata kerajaan perlu mengkaji semula IPG dan menetapkan harga lantai getah sekerap antara RM3 hingga RM4 sekilogram.

“Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan ini akan memberi impak kepada kewangan negara sebanyak RM1.29 bilion setahun.

“Pertambahan peruntukan mungkin memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokong penetapan harga lantai getah seandainya harga getah asli dunia mengalami trend penurunan mendadak.

“Mengikut ‘board of list’ harga getah dunia, ia tidak menunjukkan perubahan yang begitu ketara, ” ujar Sulaiman.

Jelasnya, kerajaan tidak hanya perlu bergantung untuk import getah kepada negara China sebaliknya boleh mencari pasaran baharu untuk meningkatkan jumlah import getah sekerap.

“Sebelum ini terdapat dakwaan daripada kerajaan terdahulu bahawa perletakan harga lantai akan menyediakan ruang bagi aktiviti penyeludupan getah dari luar negara.

“Ini adalah kerana Malaysia terikat dengan perjanjian ITRC melibatkan tiga buah negara pengeluar getah bertaraf dunia iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.

“Tidak akan timbul isu penyeludupan sekiranya sistem yang dilaksanakan diperbaiki dalam segenap peringkat dan kategori, ” ujarnya.

Sulaiman berkata, beliau mewakili suara penoreh getah yang berpendapatan rendah dan golongan ini harus dibantu dan diambil perhatian.

“Bagi mewakili suara penoreh getah yang berpendapatan rendah, kebajikan penoreh getah harus diberi perhatian serius.

“Ia harus dilaksanakan melalui pelaksanaan perletakan harga lantai getah serta mengkaji semula pemberian IPG sejak 2015 yang lalu.

“Sebelum ini IPG yang telah diperkenalkan oleh kerajaan BN ialah purata harga bulanan SMR20 pada bulan sebelumnya kurang RM5.50 sekilogram atau harga diperingkat ladang bagi getah sekerap adalah dibawah RM2.20 sekilogram, ” tambahnya lagi. - utaranews.com