Kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan bersikap berat sebelah dan pilih kasih  apabila memberi layanan tidak adil terhadap bekas Perdana Men...

Kerajaan PH tidak adil dan berat sebelah tangani isu rasuah


Kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan bersikap berat sebelah dan pilih kasih  apabila memberi layanan tidak adil terhadap bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Pemantau Kerajaan Malaysia Baru, Lokman Adam.

Beliau berkata, bekas Presiden UMNO itu dilayan sebagai pesalah walaupun belum didakwa, sedangkan layanan sebaliknya berlaku kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Dalam kes Lim Guan Eng (rasuah) mereka cadang nak gugurkan kes.

“Berbeza dengan Najib, walaupun dia belum didakwa tetapi tidak dibenarkan ke luar negara, sehingga seolah-olah dikenakan tahanan rumah.

“Tetapi Lim Guan Eng yang sudah didakwa boleh angkat sumpah sebagai menteri,” katanya.

Beliau berkara demikian semasa ditemui di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada selasa.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada Isnin, menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula perbicaraan kes rasuah melibatkan Guan Eng, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Sebelum ini, perbicaraan kes rasuah berkenaan ditangguh bagi membolehkan Guan Eng membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Lokman turut mempersoalkan kelulusan Pakatan Harapan sebagai sebuah pakatan politik yang sah.

Menurutnya, perkara berkenaan seolah-olah tidak berlaku mengikut peraturan kerana masih terdapat parti komponen Pakatan Harapan yang masih belum diluluskan.

“Bila pertama kali Pakatan Harapan berkuasa, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berubah. RoS yang batalkan pendaftaran PPBM tiba-tiba meluluskan Pakatan Harapan.

“Jadi saya nak persoalkan macam mana Pakatan Harapan diluluskan sedang PPBM belum lulus,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakatan Harapan telah diluluskan sebagai sebuah parti gabungan empat parti yang sah.

Katanya, permohonan Pakatan Harapan sebagai parti gabungan diluluskan oleh RoS pada Rabu lalu.

Pakatan Harapan adalah gabungan parti politik iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM. -Utaranews.com