Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo perlu memberikan penjelasan berhubung peruntukan RM40 juta yang akan digunakan un...

Kerajaan PH wajib jelaskan sumber peruntukan RM 40 juta siaran Piala Dunia di RTM


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo perlu memberikan penjelasan berhubung peruntukan RM40 juta yang akan digunakan untuk pesta tayangan bola sepak Piala Dunia 2018 secara langsung di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), kata pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Selain itu, kata bekas penasihat sosiobudaya kerajaan terdahulu itu, Gobind juga perlu menjelaskan sama ada sumber peruntukan RM 40 juta itu adalah wang pengiklan atau peruntukan kerajaan.

"Ura-ura nak guna RM40 juta untuk pesta tayangan bola sepak di RTM mesti dirasionalkan oleh menteri.

"Adakah jumlah itu dari pengiklan atau huluran kerajaan? 

"Kalau huluran dari kerajaan, dasar berjimat cermat tak masuk akal," kata beliau menerusi mesej di Twitter.

Beliau turut mencadangkan agar RTM berpakat dengan syarikat penyiar Astro untuk berkongsi siaran bagi menyelamatkan duit negara.

"Pakat dengan Astro kongsi siaran. Selamatkan duit negara," kata Rais.

Semalam, Gobind mengumumkan bahawa RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018, di mana 27 perlawanan akan disiarkan secara langsung sementara 14 perlawanan lain akan ditayangkan melalui siaran tertunda.

Selepas pengumuman tersebut, kata beliau, Kabinet bersetuju memperuntukkan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran perlawanan itu.

Sementara itu, dalam nada sindir, Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang berkata, idea siaran secara langsung itu disifatkan sebagai "luar biasa".

Menurut beliau, mungkin itulah sebabnya kerajaan Pakatan Harapan perlu mewujudkan tabung bagi rakyat negara ini menghulurkan sumbangan untuk meringankan hutang negara.

"Saya ingin bertanya adakah tabung itu berkaitan dengan siaran Piala Dunia di RTM? Saya ingat kerajaan ingin jimatkan wang?" sindir Tan. - Utaranews.com