Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN),
Khairy Jamaluddin memikul tanggungjawab tugas untuk penambahbaikan
dalam UMNO dan BN.
BN dan UMNO telah memberi
tugas kepada Anggota Parlimen Rembau itu untuk merangka cadangan bagi
menstruktur semula parti dalam usaha mengorak langkah ke depan.
Perkara
tersebut dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang
menjalankan tugas Presiden UMNO dalam sidang media selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, di
Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin, berkata beliau diberi tempoh sebulan untuk menjalankan tanggungjawab berkenaan.
“Saya diberikan tugas oleh Datuk Seri Zahid untuk melaksanakan cadangan-cadangan bagi penstrukturan BN dan UMNO.
“Tempoh
yang diberikan adalah sebulan dan dalam tempoh berkenaan kita akan
bentangkan opsyen-opsyen dan pilihan kepada parti dari segi ideologi,
struktur serta dari segi gerak kerja dan sebagainya lagi,” ujar beliau.
Ketua
Pemuda UMNO itu juga berkata, untuk melancarkan tugas penstrukturan
tersebut, beliau berjanji semua pihak khususnya rakan komponen BN
dilibatkan secara langsung.
“Kami akan menjadi inklusif bagi mendapatkan pandangan daripada (komponen) BN untuk merangka cadangan,” kata beliau.
Ini
merupakan satu tugas yang mencabar dan memerlukan langkah luar biasa
bagaimana bagi menstruktur semula parti yang sudah berkuasa selama 61
tahun mengalami kekalahan yang tidak diduga, untuk mendapat semula
kepercayaan rakyat. -Utaranews.com